NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KEMAS KINI: Syed Saddiq gagal cabar pemberhentian peruntukan dana Parlimen Muar



KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pengundi tidak dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar tindakan kerajaan yang memberhentikan peruntukan dana berjumlah RM730,300 untuk perbelanjaan penduduk kawasan itu.

Selain Syed Saddiq, tiga yang lain ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG), Najib Abu Nawar; imam surau, Mohd Bakirudin Abdullah serta pengerusi surau, Muhamad Fadzly Bisri selaku pemohon pertama hingga keempat.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menolak pemohonan mereka untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman selepas berpuas hati permohonan itu dibuat di luar masa yang dibenarkan oleh undang-undang.

Beliau menjelaskan, permohonan kebenaran semakan kehakiman perlu difailkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh notis pemberitahuan yang dikeluarkan menerusi sistem MyKHAS pada 10 September 2023.

Bagaimanapun, kata hakim, pemohon-pemohon memfailkan semakan kehakiman pada 23 April lalu iaitu melebihi tempoh tiga bulan yang ditetapkan.

Mahkamah turut berpendapat, jika sekalipun terlewat memfailkan permohonan, mereka boleh memohon untuk mendapatkan lanjutan masa memfailkannya, namun tindakan itu tidak dilakukan.

“Atas sebab-sebab di atas, mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar merit permohonan semakan kehakiman,” ujar beliau.

Hakim Wan Ahmad Farid selanjutnya berpendirian, oleh kerana peruntukan khas untuk kawasan Parlimen merupakan perkara dasar Eksekutif, mahkamah terikat dengan keputusan kes Michael Jayakumar bahawa isu yang dibangkitkan tidak boleh diputuskan melalui semakan kehakiman.

Beliau yang kini hakim Mahkamah Rayuan tidak memerintahkan sebarang kos kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.

Pada prosiding 23 September lalu, mahkamah mendengar penghujahan Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan yang dibantu Peguam Persekutuan Ng Wee Li bagi pihak kerajaan dan peguam Lim Wei Jit yang mewakili Syed Saddiq.

Dalam permohonan itu, Syed Saddiq dan tiga pengundi tersebut menamakan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonannya, Syed Saddiq mendakwa kerajaan memberhentikan peruntukan dana RM730,300 bagi tujuan perbelanjaan kebajikan rakyat di kawasan Parlimen Muar.

Mereka memohon perintah bagi membatalkan keputusan memberhentikan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta kepada kawasan itu.

Wang itu sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan untuk program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bencana.

Pemohon juga memohon untuk membatalkan keputusan kedua-dua responden yang membatalkan akses Syed Saddiq terhadap sistem myKHAS, yang menguruskan permohonan peruntukan pembangunan RM2 juta untuk kawasan terbabit.

Selain itu, mereka turut memohon mengetepikan keputusan kerajaan membatalkan beberapa projek secara kolektif berjumlah RM230,300 yang dipohon Syed Saddiq dan diluluskan dalam sistem myKHAS untuk peruntukan pembangunan RM2 juta. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo