BANGI, Isnin – Hukuman sebat di khalayak umum bukan bertujuan untuk memalukan pesalah, sebaliknya ia demi mendidik masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan.
Terdahulu, Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Pahang, Dr Rozanizam Zakaria meluahkan rasa kesal terhadap pandangan dikongsikan seorang kaunselor dan ahli psikologi klinikal bukan muslim apabila mengulas secara langsung mengenai amalan perundangan melibatkan orang Islam.
Dr Rozanizam merujuk kepada pandangan yang dikongsikan mengenai hukuman sebat terhadap pesalah khalwat berulang di Terengganu pada minggu lalu.
Beliau berkata, walaupun ia bukan satu kesalahan untuk mengulas, namun batasan perbincangan perlu dijaga agar tidak mengundang salah faham terhadap sesuatu amalan yang secara khusus melibatkan pengamal sesuatu agama.
“Saya sendiri tidak akan sesekali menjawab persoalan berhubung amalan agama lain, walaupun ia berkait dengan bidang profesional saya,” katanya yang mempunyai pengalaman dalam bidang psikiatri lebih 10 tahun.
Beliau berkata, walaupun menyentuh aspek psikologi dalam hal hukuman sebat di khalayak umum, ahli profesional dalam bidang ini seharusnya menyedari konteks perbincangan ini secara langsung menyentuh sensitiviti undang-undang syariah, apatah lagi khusus berkaitan umat Islam.
Katanya, isu yang berbangkit secara khusus menyentuh aspek perundangan yang telah sah di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu 2001 yang mana Seksyen 125 Enakmen tersebut menjelaskan pelaksanaan hukuman sebatan.
“Penulis serta pakar yang memberi komentar seharusnya sedar bahawa prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman sebatan di luar penjara bagi pesalah syariah itu sendiri disediakan Jabatan Penjara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Ia bukan prosedur spontan yang berjalan secara sambil lewa tanpa mengikut prosedur yang telah diperhalusi pakar bidang masing-masing,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Rozanizam berkata, meskipun terdapat komentar tentang impak psikologi kepada pesalah, namun perlu disedari bahawa konsep ‘public shaming’ bukan perkara baharu.
Sebagai contoh, katanya, penyenaraian pesalah pedofilia dalam daftar umum yang dilakukan oleh undang-undang banyak negara juga termasuk dalam prinsip itu.
“Adakah kita juga ingin membangkitkan hujah ‘maruah pesalah’ dan ‘impak psikologi kepada pesalah’ dalam hal ini?” soal beliau.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa dalam prinsip Islam, hukuman sebat di khalayak umum bukan dengan maksud memalukan tetapi mendidik masyarakat.
“Bukankah mana-mana ahli psikologi pasti akan belajar teori pembelajaran seperti teori pembelajaran sosial yang dipelopori Albert Bundura yang mana manusia belajar melalui pemerhatian. jadi, jangan nafikan aspek ini juga.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya mengiktiraf nilai Islam yang menjadi agama Persekutuan dalam undang-undang, pembentukan moral masyarakat dan penentu apa yang diterima sebagai norma sosial.
“Janganlah terbawa-bawa dengan perspektif lensa barat sahaja,” tambah beliau.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment