PENAMPANG: Aktivis dan pereka grafik kontroversi, Fahmi Reza, telah ditahan polis selepas lebih 30 laporan diterima berhubung poster karikatur yang didakwa berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman.
Fahmi, atau nama penuhnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, ditahan kira-kira jam 5 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Penahanan itu dibuat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, mengesahkan bahawa Fahmi kini sedang disoal siasat dan reman akan dipohon pada esok pagi untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
"Ya, dia ditahan selepas hadir ke IPD Penampang petang tadi. Siasatan masih berjalan, dan reman akan dipohon mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.
Sebelum ini, Fahmi memuat naik kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa beliau sedang menuju ke balai polis untuk memberikan keterangan berhubung poster karikatur tersebut. Dalam muat naik itu, Fahmi menyatakan, “Kalau aku tak update sebelum jam 8 malam maknanya aku akan tidur lokap malam ni.”
Datuk Jauteh turut menyatakan bahawa lebih 30 laporan polis telah dibuat di seluruh Sabah berkaitan poster tersebut.
"Kertas siasatan telah dibuka, dan pihak polis sedang memastikan siasatan diteruskan agar individu tersebut bertanggungjawab atas perbuatannya," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Fahmi Reza sebelum ini terkenal dengan karya grafik yang sering mencetuskan kontroversi, termasuk karikatur yang menyentuh isu politik dan kepimpinan negara.
Sumber | BHarian
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment