NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dakwaan terima tawaran sokong kerajaan, Wan Saiful tak kelirukan Dewan Rakyat



KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan  terkilan kerana Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen tidak mengeluarkan hansardpenuh ucapannya ketika membela diri berhubung dakwaan menerima tawaran untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, sekiranya teks ucapan itu dikeluarkan sebagai hansard maka semua bukti akan menjadi rekod rasmi dan boleh dibaca sendiri oleh seluruh rakyat Malaysia.

Terdahulu, katanya, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mendapati beliau tidak mengelirukan Dewan Rakyat berhubung kenyataannya itu dan penyata mengenainya tekah dimuat naik ke laman web Parlimen.

“Kes tersebut bermula apabila pada Isnin 24 Jun 2024 Dato Sri Azalina Othman Said membawa usul kerajaan untuk merujuk saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas tuduhan kononnya ucapan-ucapan saya pada 28 Februari dan 21 Mac berkaitan tawaran-tawaran yang diberikan kepada saya untuk menyokong Perdana Menteri adalah mengelirukan Dewan.

“Pada 6 September 2024, saya telah dipanggil untuk memberi keterangan. Saya bercakap hampir dua jam 30 minit membentangkan kronologi mengenai apa yang berlaku.

“Sebagai bukti, saya turut mainkan rakaman audio dan saya tunjukkan gambar serta tangkap layar mesej WhatsApp. Saya juga berkongsi identiti individu-individu yang menemui saya.

“Bukti-bukti itu semuanya menunjukkan  memang ada pihak bertemu saya dan memang ada tawaran dibuat. Hasilnya Jawatankuasa mendapati saya tidak mengelirukan Dewan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Tambah Wan Saiful, keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen itu membuktikan beliau berkata benar dan tidak akan sama sekali mengkhianati perjuangan walaupun ditekan dan diancam dengan pelbagai tindakan oleh mereka yang didakwanya zalim atau cuba dirasuah dengan pelbagai habuan.

Sehubungan itu, rakyat perlu menilai mereka yang menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk membeli sokongan, katanya.

“Saya berdoa supaya negara kita dikembalikan ke jalan yang benar, dan semoga setiap seorang dari kita diberi kesabaran untuk menempuh ujian agar kita sentiasa istiqamah memperjuangkan perkara yang benar demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya.

Pada 24 Jun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul merujuk Wan Saiful kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen selepas beliau didakwa membuat kenyataan yang mengelirukan Dewan pada 21 Mac lalu.

Keputusan tersebut dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas usul yang dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendapat sokongan majoriti oleh Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang dipengerusikan Johari pada 6 dan 10 September lalu mengesahkan kenyataan Wan Saiful itu tidak mengelirukan Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo