NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bersatu pertimbang saman SPRM, tahan akaun bank lebih 12 bulan – Muhyiddin



SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang menimbang untuk menyaman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pembekuan akaun bank parti itu lebih 12 bulan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya sedang berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang itu yang menghalang parti tersebut mengakses akaunnya mahupun membuka akaun baharu.

“Kita sedang memikirkan (saman SPRM), hari itu ada bincang dengan peguam sama ada kita akan ambil tindakan terhadap SPRM yang mengarahkan bank yang bersedia keluarkan kita punya tuntutan.

“Akaun kita nak guna, dia tak benarkan, lepas itu nak buka akaun baharu pun tak benarkan, ini zalim. Kita rasa ini tidak adil, saya dah bincang dan minta peguam teliti seboleh mungkin nak ambil tindakan kepada pihak berkuasa bertanggungjawab.

“Kita juga akan mengambil tindakan kepada bank yang tak boleh mengeluarkan ini (wang), perbelanjaan kita tak boleh dibayar dan sebagainya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dua akaun Bersatu yang dibekukan pada 12 dan 13 Januari 2023, disita SPRM pada 11 April tahun lalu untuk tindakan lanjut.

Sitaan ke atas dua akaun parti terbabit dibuat setelah SPRM mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.

Tindakan sitaan dilakukan selepas akaun terbabit dibekukan pada 12 dan 13 Januari 2023, mengikut Seksyen 44 AMLATFPUAA 2001 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga memaklumkan sesi pendengaran kes tuntutan ke atas akaun Bersatu di mahkamah akan dibuat pada 23 Januari 2025.

“Satu tuntutan kita untuk akaun diserahkan kepada kita dan diaktifkan semula dan ia wajar bersandarkan kepada undang-undang yang ada kaitan dengan hal itu mengatakan mereka hanya boleh menahan dalam hanya tempoh 12 bulan.









“Itu pun tak patut, tapi lepas tempoh 12 bulan, mereka masih terus bekukan akaun, dia tak sita, tapi bekukan akaun atas tiada sebab apa-apa,” katanya.

Menurut Muhyiddin, tindakan itu menyalahi undang-undang, bahkan dilihat sebagai salah guna kuasa dan ia tidak sepatutnya dilakukan oleh undang-undang, apatah lagi agensi kerajaan dan badan penguatkuasaan termasuk SPRM.

“Jadi sebab itu kita punya tuntutan di mahkamah ini wajar kerana sebagai sebuah pertubuhan, kita tak dikenakan apa-apa hukuman atau pertuduhan,

“Bersatu tidak pernah didakwa mana-mana salah laku, soal saya lainlah. Bersatu ialah sebuah pertubuhan politik yang besar, macam mana kita nak hidup kalau kerajaan bertindak seperti ini.

“Parti ini cergas, duit tak ada pun perhimpunan kita terpaksa kumpul sikit-sikit, kita tak malu, macam mana kita terpaksa kutip daripada ahli-ahli untuk membolehkan kita bayar perhimpunan yang kosnya mencecah RM400,000 bukan murah.

“Macam mana kita nak urus akaun kita kalau akaun kita yang ada, yang sah ini tak boleh digunakan, nak buka akaun baharu pun tidak dibenarkan, ini sangat teruk, bagi saya ini satu tindakan melanggar Perlembagaan dan undan-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo