NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Berikan Keadilan Kepada Dato Sri Najib


Pada 17 Disember lalu, rakan saya Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, berpandangan Dato Sri Mohamad Najib Tun Abdul Razak selayaknya diberi pembebasan sepenuhnya bukan sekadar tahanan rumah. Menurut Ustaz Nik Abduh, beliau melihat Dato Sri Najib tidak diberi peluang sepenuhnya untuk membela diri, justeru perbicaraan terhadap beliau adalah 'senget'. Setakat pemerhatian saya terhadap pendirian Ustaz Nik Abduh, pendiriannya konsisten dari dahulu lagi semenjak Dato Sri Najib ditangkap dan dituduh pada tahun 2018.

Sebaik sahaja beliau dikekalkan sabitan kesalahannya oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022, saya sendiri telah menulis satu rencana, menyatakan masih tidak dapat diyakinkan bahawa Dato Sri Najib bersalah. Keberanian Dato Sri Najib bersumpah dengan nama Allah SWT, menafikan beliau mencuri dana SRC dan 1MDB sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, menjadi asas kepada pendirian saya itu. Meskipun sumpah beliau tidak mempunyai merit di mahkamah, ia mempunyai makna yang besar kepada pertimbangan saya.

Sebenarnya PAS menerima tempias daripada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada Dato Sri Najib terutamanya oleh PH sejak  tahun 2015. Mursyidul Am ketika itu, Dr Haron Din, pada 4 Julai 2015 menyatakan, tuduhan yang dibuat melalui media-media asing bahawa Dato Sri Najib mencuri dana 1MDB adalah tidak masuk akal. Menurut Dr Haron Din lagi tidak mungkin seseorang yang mahu mencuri dana awam memasukkan hasil curiannya ke dalam akaun peribadi, bukannya akaun rahsia. Pendirian Mursyidul Am PAS ini telah dijadikan sebab mengapa PAS turut diserang.

Pendirian Dr Haron Din ketika itu turut disokong oleh Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Dalam kenyataan beliau pada 7 Julai 2015, Tuan Guru Abdul Hadi menolak tuduhan yang dibuat oleh Wall Street Journal (WSJ) terhadap Dato Sri Najib. Malah, Presiden PAS dengan tegas menolak campurtangan asing di dalam isu 1MDB ini, khususnya berkaitan tindakan oleh Department of Justice (DoJ) yang mengaitkan Perdana Menteri ketika itu dengan kehilangan dana 1MDB. Pendirian dua tokoh PAS ini, menyebabkan PAS menjadi defensif ketika menghadapi PRU ke-14 tahun 2018.

Ketika isu Titah Addendum tentang tahanan rumah Dato Sri Najib dibangkitkan, mungkin ramai yang tidak menyedari tentang keterangan pembelaan beliau di dalam mahkamah baru-baru ini. Semasa memberi keterangan di dalam Mahkamah Tinggi berkaitan kes penyelewengan dana 1MDB pada 9 Disember baru-baru ini, Dato Sri Najib mendakwa pembangkang ketika itu (diyakini merujuk kepada PH) telah berkerjasama dengan Kerajaan Demokrat Amerika Syarikat untuk menjatuhkan beliau dan Kerajaan BN melalui tindakan-tindakan oleh DoJ.

Keterangan Dato Sri Najib berkaitan campurtangan Parti Demokrat Amerika Syarikat tersebut ada asasnya. Semasa Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat tahun 2016, isu tentang tindakan DoJ termasuk berkaitan dengan 1MDB dan Hillary Foundation ada dibangkitkan. Terdapat rencana di WSJ yang mengaitkan dana 1MDB dengan Frank White Jr, seterusnya dikaitkan dengan pasukan kempen Hillary Clinton. Kemudian ada pula tuduhan dalang sebenar Skandal 1MDB, Jho Low, terbabit membantu kempen calon Parti Republikan, Donald Trump.

Kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku, tetapi sudah cukup menggambarkan tindakan DoJ berkaitan Skandal 1MDB ini ada kaitan dengan pertembungan politik di Malaysia dan boleh jadi juga di Amerika Syarikat. Dalam konteks keterangan Dato Sri Najib tersebut, jelas menunjukkan isu 1MDB ini menjadi senjata utama PH untuk menumbangkan beliau dan BN pada tahun 2018. Malah, Dato Sri Najib dan isu 1MDB terus menjadi sasaran utama PH di dalam PRU ke-15 tahun 2022. Dengan pengertian lain, tanpa serangan terhadap Dato Sri Najib dan isu 1MDB, PH ketandusan senjata. 

Menyedari hakikat tersebut, mana mungkin PH yang menjadi tunjang kerajaan sekarang boleh melupuskan senjata politik mereka. Dengan senjata itulah mereka berhasil memperdayakan pengundi untuk memenangi kerusi pilihanraya. Malah dengan senjata itu juga, PAS turut terkesan menerima tempias daripada isu 1MDB pada PRU ke-14 tahun 2018. Sekiranya PH yang menjadi tunjang kerajaan sekarang mengusahakan pengampunan membebaskan Dato Sri Najib atau dilihat bertoleransi dengan beliau, PH akan kehilangan pengundi mereka dalam PRU ke-16 akan datang.

Oleh sebab itu, DAP terus menerus menyerang Dato Sri Najib, sehingga permohonan maaf Dato Sri Najib dalam kes 1MDB baru-baru ini terus dijadikan peluru oleh DAP. PAN sebagai 'pak turut' DAP juga tidak memberi ruang kepada Dato Sri Najib, tetapi mendakap seerat-eratnya pemimpin-pemimpin UMNO yang lain. Manakala PKR pula dilihat terpecah dua, ada fraksi yang mahu berdamai dengan Dato Sri Najib dan ada fraksi yang lebih besar tetap mahu menjadikan Dato Sri Najib dan juga isu 1MDB sebagai senjata politik mereka.

Apabila isu Titah Addendum ini mula timbul pada awal tahun ini, DAP, PAN dan PKR yang merupakan parti-parti utama kerajaan tetap membisu. Sehinggalah baru-baru ini muncul affidavit di mahkamah oleh anak Dato Sri Najib, yang menyandarkan kesahihan wujudnya Titah Addendum kepada Duli Yang Mulia Sultan Pahang, PH terus berdiam seribu bahasa meskipun mereka adalah kerajaan sekarang. Apa lagi yang boleh diharapkan kepada PH untuk menegakkan keadilan terhadap Dato Sri Najib paling tidak berkaitan Titah Addendum, kerana memang itulah hayat politik mereka.


- 1Media.my
........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo