NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bahas secara terbuka istilah ‘jelik melampau’, Kerajaan perlu lebih telus pinda akta — GERAMM



  • GERAMM berpandangan istilah “jelik melampau” dalam pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) memerlukan perbahasan terbuka membabitkan semua pihak berkepentingan, termasuk masyarakat sivil, pengamal media dan badan hak asasi manusia.
  • Jurucakap GERAMM, Radzi Razak berkata persoalan utama dalam perkara itu ialah berkenaan  apakah kriteria yang digunakan untuk menentukan sesuatu kandungan sebagai “jelik melampau”.
  • Jika perkara itu tidak dijelaskan, tafsirannya mungkin terlalu luas sehingga kandungan kritikal terhadap kerajaan atau institusi boleh diklasifikasikan sebagai melampau hanya kerana ia tidak disenangi pihak tertentu.
  • “Sebagai langkah ke hadapan, GERAMM mendesak kerajaan untuk lebih telus dan bertanggungjawab dalam melaksanakan pindaan undang-undang ini,” katanya kepada The Merdeka Times hari ini.

KUALA LUMPUR — Gerakan Media Merdeka (GERAMM) berpandangan istilah “jelik melampau” dalam pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) memerlukan perbahasan terbuka membabitkan semua pihak berkepentingan, termasuk masyarakat sivil, pengamal media dan badan hak asasi manusia.

Jurucakap GERAMM, Radzi Razak berkata persoalan utama dalam perkara itu ialah berkenaan  apakah kriteria digunakan untuk menentukan sesuatu kandungan sebagai “jelik melampau”.

Radzi berkata jika perkara itu tidak dijelaskan, tafsirannya mungkin terlalu luas sehingga kandungan kritikal terhadap kerajaan atau institusi boleh diklasifikasikan sebagai melampau hanya kerana ia tidak disenangi pihak tertentu.

“Sebagai langkah ke hadapan, GERAMM mendesak kerajaan untuk lebih telus dan bertanggungjawab dalam melaksanakan pindaan undang-undang ini.

“Penubuhan Majlis Media Malaysia juga perlu disegerakan untuk memastikan isu seperti ini dapat diuruskan dengan cara lebih bebas, adil, dan profesional. 

“Pindaan undang-undang seperti ini seharusnya bertujuan untuk melindungi rakyat, bukan untuk menyekat hak mereka bersuara atau mempertahankan kebenaran,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang apakah itu kandungan ‘jelik melampau’ dan kandungan bagaimana sesuai dipanggil ‘jelik melampau’ ekoran pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang menggantikan perkataan ‘jelik’ kepada ‘jelik melampau’.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada 16 Disember lalu berkata huraian elemen termasuk ‘jelik melampau’ dalam pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak bersifat muktamad.

Sebaliknya, huraian itu adalah sebagai panduan kepada pegawai penyiasat, pihak pendakwaan dan mahkamah dalam menilai dan menentukan sama ada sesuatu kandungan itu adalah jelik melampau.

Susulan pindaan itu ramai pihak yang mempersoalkan apakah definisi ‘jelik melampau’ dalam Seksyen 233 Akta berkenaan yang dilihat masih tidak jelas, samar dan terlalu subjektif.

Mengulas lanjut, Radzi berkata tanpa takrifan yang konkrit, tafsiran terhadap istilah itu bergantung sepenuhnya kepada budi bicara pegawai penyiasat, pendakwaan dan mahkamah, yang boleh dipengaruhi tekanan politik, agenda tertentu atau persepsi subjektif.

Beliau berkata ketidakpastian itu menimbulkan risiko besar, termasuk potensi tindakan undang-undang yang tidak konsisten dan penggunaan kuasa untuk menyekat pandangan kritikal serta  boleh mencetuskan budaya ketakutan dalam kalangan rakyat, media dan pengguna media sosial, di mana mereka mungkin memilih untuk menyaring diri sendiri bagi mengelakkan risiko pendakwaan.

Katanya, situasi seperti itu jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Kes Fahmi Reza adalah contoh yang relevan dalam perbahasan ini. Sebagai seorang artis satira yang sering menggunakan platformnya untuk mengkritik institusi dan dasar, beliau sebelum ini mendapat sokongan daripada pemimpin tertentu yang kini berada dalam kerajaan. 

“Namun, tindakan undang-undang terhadap beliau menunjukkan betapa undang-undang yang kabur dan tidak jelas boleh digunakan untuk menekan sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang politik mereka. 

“Kes seperti ini menonjolkan betapa bahayanya pindaan undang-undang tanpa definisi yang jelas dan proses konsultasi yang inklusif,” kata Radzi. — The Merdeka Times







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo