Kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat kini bertambah lagi dengan kenaikan premium insuran perubatan. |
Seorang pakar kesihatan memberi amaran kenaikan premium bulanan insurans dan takaful bakal memburukkan lagi keadaan sedia ada di klinik dan hospital kerajaan, apabila semakin ramai pencarum membatalkan insurans kesihatan mereka.
Dr Zainal Ariffin Omar berkata, ia termasuk mereka yang bercadang untuk mencarum insurans kesihatan namun membatalkan hasrat mereka setelah kenaikan diumumkan pada tahun depan.
"Ini bermakna ramai akan datang ke fasiliti kesihatan kerajaan. Beban kakitangan bakal bertambah dan ini menyebabkan kualiti perkhidmatan kesihatan terjejas," katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.
Ujarnya, staf seperti doktor dan jururawat bakal bertambah tertekan.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kenaikan pelaksanaan tempoh 45 jam bekerja untuk jururawat hospital awam berbanding 42 jam seminggu.
Pada November lepas, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) mengumumkan premium insurans perubatan dijangka meningkat antara 40% ke 70% pada tahun depan.
Peningkatan itu, menurut mereka, adalah kerana kadar inflasi tuntutan kos perubatan kumulatif, yang didorong daripada peningkatan kos penjagaan kesihatan.
Susulan itu, Bank Negara Malaysia mengarahkan operator takaful dan insurans untuk menilai semula strategi harga sebagai respons kepada pengumuman kenaikan premium tersebut.
Menurut Zainal, kerajaan harus mencari penyelesaian segera dan berkesan berhubung kenaikan premium.
"Jika tidak ditangani, perkhidmatan kesihatan akan merosot dan runtuh. Rakyat bakal menjadi mangsa."
Sistem penjagaan kesihatan Malaysia diberikan hampir percuma menerusi subsidi berbilion ringgit setiap tahun. Ia bermakna majoriti rakyat Malaysia bergantung kepada sistem kesihatan awam untuk mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan.
Bagaimanapun, klinik dan hospital mengambil masa menunggu yang lama untuk pesakit susulan kesesakan yang dihadapi di fasiliti kesihatan.
MalaysiaNow difahamkan, kenaikan premium akan lebih memberi kesan kepada polisi takaful berbanding insurans konvensional.
"Insurans konvensional melaburkan premium yang dibayar. Ia menggunakan konsep pemindahan risiko," menurut seorang ejen kanan di sebuah syarikat insurans terkemuka.
"Jika pelaburan untung, klien akan untung. Jika pelaburan rugi, syarikat insurans akan turut rugi."
Manakala takaful pula menggunakan konsep tabung bersama yang mana semua pihak akan merasa keuntungan atau kerugian.
"Konsepnya adalah perkongsian risiko. Disebabkan kos perubatan meningkat, caruman perlu dinaikkan untuk memastikan wang dalam tabung bersama itu tidak berkurangan," tambahnya.
Pembatalan polisi
Seorang ejen insurans berkata 5% daripada lebih 1,000 pelanggannya memutuskan untuk membatalkan polisi selepas kenaikan diumumkan.
"Kebanyakan yang membatalkan polisi adalah golongan M40 yang mempunyai manfaat perubatan yang disediakan syarikat, atau pegawai kerajaan yang mendapat manfaat hospital kerajaan," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Bob.
Bob yang sudah enam tahun menjadi ejen insurans, berkata bayaran polisi insurans kebanyakan pelanggan yang membatalkan polisi mereka adalah sekitar RM170 hingga RM250 sebulan.
Walaupun kenaikan premium tersebut bermula tahun depan, surat pemakluman tentang kenaikan sudah pun dikeluarkan sejak Oktober 2024.
"Kebanyakan mereka sudah pun membatalkan polisi pada bulan Disember," tambahnya.
Bagaimanapun, Presiden LIAM, Loh Guat Lan berkata pihaknya tidak mencatatkan kadar pembatalan polisi yang tinggi terutama daripada pencarum yang sudah pun mempunyai masalah kesihatan sedia ada.
"Kami mempunyai pilihan untuk menawarkan pelan yang lebih kecil atau pelan yang dikurangkan kepada pemegang polisi untuk memastikan liputan perubatan mampu dimiliki," katanya kepada MalaysiaNow.
Loh berkata, pelarasan harga akan dilakukan pada ulang tahun polisi dan akan berterusan setiap bulan selama 12 bulan berikutnya.
Ditanya mengenai jangkaan pengurangan jualan insurans kepada klien baru pada tahun depan, Loh menjelaskan prestasi jualan berkait dengan pertumbuhan ekonomi, meskipun berlaku kenaikan harga.
"Ada prospek positif untuk industri insurans dengan adanya pemulihan ekonomi," ujarnya.
Sumber | MalaysiaNow
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment