NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Antara undang-undang dan perkara baharu berkuat kuasa 1 Januari 2025



  • Ia termasuk penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (CASP) yang mewajibkan platform media sosial mendaftar lesen dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), lapor BERNAMA di sini hari ini.
  • Bermula esok juga premis dobi dan bangunan tempat kerja telah tersenarai dalam kawasan larangan merokok ekoran penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Oktober lalu.
  • Bermula 1 Januari depan juga Johor akan kembali melaksanakan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad susulan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pada 7 Oktober lalu, dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

KUALA LUMPUR — Dalam tempoh kurang 24 jam, Malaysia akan menyaksikan pelaksanaan beberapa perkembangan yang memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada rakyat dan negara.

Antaranya adalah penguatkuasaan beberapa dasar dan peraturan baharu yang bermula 1 Januari 2025.

Ia termasuk penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (CASP) yang mewajibkan platform media sosial mendaftar lesen dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), lapor BERNAMA di sini hari ini.

Keperluan itu, yang terletak di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak dan kelompok rentan, serta memperkukuh kawal selia terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

Kosmo pada Jumaat lalu melaporkan penyedia media sosial telah diminta mendaftarkan lesen perkhidmatan dengan segera susulan penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi pada 1 Januari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dilaporkan mengingatkan tarikh akhir untuk mengemukakan permohonan tersebut adalah sebelum atau pada 31 Disember 2024 (hari ini).

Bermula esok juga premis dobi dan bangunan tempat kerja telah tersenarai dalam kawasan larangan merokok ekoran penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Oktober lalu.

Peraturan baharu itu menjadikan 28 kawasan diwartakan sebagai tempat larangan merokok, termasuk hospital, klinik, lif atau tandas awam, tempat makan, kedai berpenyaman udara, lapangan terbang, premis kerajaan, institusi pendidikan, kawasan taman asuhan kanak-kanak, kompleks beli-belah, stesen minyak, perpustakaan, stadium dan banyak lagi.

Individu yang didapati bersalah merokok atau menggunakan produk merokok di kawasan larangan diwartakan itu boleh didenda hingga RM5,000.

Selain itu, penjaja dan peniaga berlesen wajib membuat caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bermula esok bagi menyediakan sokongan kewangan jika berlaku bencana kerja.

Langkah mandatori itu dilaksanakan menerusi Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Penjaja Atau Peniaga) 2024 yang diwartakan pada 30 Ogos melalui PU (A) 229 dan berkuat kuasa 1 September lalu.

Bermula esok, semua taman asuhan kanak-kanak (TASKA) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diwajibkan memaparkan plak nombor pendaftaran di premis masing-masing bagi menyakinkan ibu bapa terhadap status lesen taska terbabit.

Kriteria baharu pengecualian audit penyata kewangan untuk syarikat persendirian juga akan berkuat kuasa esok, selaras komitmen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi meningkatkan kualiti pengauditan dan mengurangkan beban pematuhan yang dihadapi syarikat persendirian.

BERNAMA sebelum ini melaporkan SSM mengumumkan kriteria baharu pengecualian audit penyata kewangan bagi syarikat persendirian di Malaysia melalui penerbitan Arahan Amalan Bil. 10/2024 bertajuk “Qualifying Criteria For Exemption Fo Certain Private Companies in Malaysia”.

Kriteria baharu pengecualian audit yang diperkenalkan itu telah melalui beberapa siri konsultasi bermula Februari 2023 sehingga Jun lalu, serta mendapat sokongan daripada 88 peratus responden.

Mana-mana syarikat yang ingin mendapatkan pengecualian audit perlu memenuhi mana-mana dua daripada tiga kriteria ditetapkan.

Sementara itu, bermula 1 Januari depan juga Johor akan kembali melaksanakan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad susulan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pada 7 Oktober lalu, dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Perkara itu menjadikan negeri lain yang melaksanakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ketika ini ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Esok, Malaysia juga secara rasmi mengambil alih jawatan selaku Pengerusi ASEAN setelah Laos menyerahkan tanggungjawab itu semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane pada 11 Oktober lalu.

Di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat dan sidang kemuncak ASEAN sepanjang tahun, antaranya Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Johor (Februari), Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pasca Menteri (AMM/PMC) di Kuala Lumpur (Julai), serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober.

Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. — The Merdeka Times








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo