BANGI, Selasa – Seramai 122,062 murid dikenal pasti belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, dapatan itu adalah hasil saringan pengesahan awal literasi dan numerasi seramai 448,113 murid tahun 1 bagi sesi akademik 2024/2025.
Katanya, murid itu mengikuti program Intervensi Tahun 1 Fasa 1 dan diberi bimbingan secara berfkus melalui pendekatan pengajaran yang lebih intensif mulai Julai hingga September 2024.
“Berdasarkan analisis data yang berakhir 30 Oktober 2024, seramai 48,308 murid (39.58%) berjaya menguasai kemahiran asas 3M.
“Murid ini telah kembali mengikuti pembelajaran dan pengajaran (PdP) di kelas biasa.
“Manakala 73,754 murid (60.42%) yang belum mencapai tahap penguasaan meneruskan intervensi Fasa 2 untuk tempoh tiga bulan (Oktober hingga Disember),” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuatnaik dalam laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang meminta kerajaan menyatakan status semasa pelaksanaan intervensi kurikulum murid tahap satu bagi menangani isu keciciran pembelajaran.
Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan sejauh mana penjajaran semula standard pembelajaran dan kandungan bagi mata pelajaran sains dan matematik memberi impak positif terhadap bebanan guru di sekolah rendah dan menengah.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, murid yang masih belum menguasai asas 3M selepas menjalani intervensi fasa 2 akan dicalonkan untuk mengikuti intervensi dalam Program Pemulihan Khas yang dilaksanakan oleh guru pemulihan apabila di Tahun 2.
Katanya, program itu menyediakan bimbingan secara intensif untuk memastikan mereka mendapat perhatian sewajarnya sehingga mampu mencapai tahap literasi dan numerasi yang diharapkan.
“Selain itu, KPM turut bekerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Program Anak Kita yang diterajui Unit Pantau Madani dan yayasan Hasanah.
“Program ini bertujuan menangani isu keciciran pembelajaran dengan fokus khsusu kepada peningkatan tahap literasi dan nuemerasi dalam kalangan murid tahun 2 hingga tahun 6,” katanya.
Tambah beliau, seramai 53,252 murid daripada 1,288 sekolah rendah di tujuh negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor, Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak telah dilibatkan.
“Tahun 2024, sebanyak Rm100 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program ini, manakala tambahan RM30 juta lagi diperuntukan untuk pelaksanaan 2025,” ujarnya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment