Berdasarkan statistik direkodkan Lembaga Zakat Selangor (LZS), seramai 42,700 bersamaan 61 peratus golongan asnaf dan fakir miskin di Selangor dikategorikan sebagai miskin bandar terutamanya di empat daerah iaitu Petaling, Klang, Gombak serta Hulu Langat.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, terdapat beberapa kumpulan yang menjadi faktor kemiskinan sentiasa berlaku antaranya miskin tegar iaitu golongan warga emas terlantar, miskin sementara seperti pendapatan bermusim dan miskin segera misalnya individu bergaji besar terlibat dengan kejadian tidak diinginkan.
“Jumlah keseluruhan kira-kira hampir 70,000 asnaf dan fakir miskin di sembilan daerah dalam Selangor tetapi empat daripadanya didefinisikan sebagai miskin bandar.
“Dari segi bantuan bulanan makanan atau sewa rumah juga lebih kurang sama sekitar 61 hingga 65 peratus disalurkan kepada penerima di empat daerah ini.
“Antara kaedah asas untuk kenal pasti seseorang layak atau tidak untuk menerima bantuan adalah berdasarkan garis kecukupan kadar had kifayah. Secara umumnya, bagi satu keluarga dengan enam anak memerlukan RM2,990. Jika di bawah pendapatan ini, mereka dikategorikan miskin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Wacana Sinar edisi 465 bertajuk ‘Miskin Bandar: Dari Zakat ke Keberdayaan’ yang disiarkan secara langsung menerusi platform Sinar Harian, bertempat di Studio F Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut dibarisi panelis hebat seperti Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan ARBA, Azlan Shah Nabees Khan bersama Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Daud Awang.
Mohd Sabirin memaklumkan, cabaran paling sukar bagi pegawai LZS adalah menjejaki asnaf dan fakir miskin dengan menyantuni golongan berkenaan dari rumah ke rumah menerusi program Jejak Kemiskinan.
Tambah beliau, pihaknya akan turun padang di sembilan daerah setiap minggu kerana LZS percaya masih ramai lagi yang memerlukan bantuan.
“Sehingga November ini, kira-kira 500 program Jejak Kemiskinan dilaksanakan oleh pegawai kami kerana ia sudah menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) LZS untuk jejak, cari dan bantu.
“Selain itu, LZS melantik 2,000 penolong amil kariah (PAK) untuk bantu 600 pegawai kami sebagai wakil untuk menjejaki golongan sasar.
“Kami juga berkolaborasi dengan rakan strategik seperti agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), masjid dan surau serta penglibatan institusi pengajian tinggi (IPT) dari segi menjejaki asnaf, mengutip dan mengagihkan bantuan,” ujar beliau lagi.
Jelasnya, antara bentuk bantuan yang menjadi keutamaan LZS ketika ini adalah pendidikan dalam memastikan generasi kedua keluarga dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Bantuan ini disediakan sama ada pemberian wang secara one-off atau berterusan,” katanya.
Tambah beliau, bantuan one-off meliputi pakaian, kasut, yuran belajar dan sebagainya bagi pelajar asnaf di peringkat sekolah rendah dan menengah.
“Bantuan pendidikan turut disalurkan kepada pelajar asnaf yang melangkah masuk ke universiti dan menamatkan pengajian.
“LZS juga menyediakan pelbagai bantuan terbaik kepada anak asnaf bermula mencari kerja sehinggalah mendapat kerja untuk memastikan tiada seorang anak asnaf pun tercicir,” ujar Mohd Sabirin.
Reformasi berstruktur tingkatkan keberdayaan ekonomi miskin bandar
SHAH ALAM - Reformasi berstruktur antara strategi yang boleh diketengahkan supaya zakat digunakan secara berkesan dalam meningkatkan keberdayaan ekonomi golongan miskin bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan ARBA, Azlan Shah Nabees Khan berkata, kemiskinan bandar didorong oleh pelbagai faktor antaranya kos sara hidup dan harga rumah tinggi, kadar gaji rendah dan migrasi penduduk ke bandar untuk mencari rezeki.
Menurut beliau, meskipun segelintir masyarakat beranggapan bahawa dengan memberikan bantuan kewangan mampu menyelesaikan masalah, namun masih terdapat indikator mustahak yang dijadikan sandaran misalnya keadaan keluarga dan tempat tinggal.
“Tiada institusi yang sempurna. Katakanlah dari segi bantuan pendidikan pula, LZS dah hantar anak asnaf ke sekolah, soalan yang perlu ditanya bukan lagi kepada pusat zakat, tetapi sekolah sama ada bolehkan bantu anak ini keluar daripada kemiskinan,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika Wacana Sinar edisi 465 bertajuk ‘Miskin Bandar: Dari Zakat ke Keberdayaan’ yang disiarkan secara langsung menerusi platform Sinar Harian, bertempat di Studio F Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Azlan Shah memaklumkan, tidak kurang juga yang mempertikaikan situasi apabila wang zakat disalurkan kepada golongan tidak produktif misalnya pesakit dialisis ketimbang kelompok rentan lain sedangkan keutamaan ketika itu adalah tentang nyawa menjadi taruhan.
Yakin dengan pengurusan zakat, tidak perlu ragu-ragu tunai kewajipan
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Daud Awang berkata, umat Islam perlu yakin dan percaya dengan kelebihan membayar zakat serta pengurusan lembaga zakat dalam menyalurkan wang tersebut kepada individu atau golongan miskin mengikut keperluan ditetapkan.
Menurutnya, sehingga kini masih ada segelintir pihak tidak memahami kelebihan diperoleh menerusi bayaran zakat.
"Kempen, pengiklanan dan promosi yang dilakukan oleh lembaga zakat sudah mencukupi tetapi kita perlu memberikan kesedaran kepada rakyat tentang keperluan untuk membantu sesama Islam,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Daud memaklumkan, golongan yang dikategorikan sebagai miskin bandar juga boleh ditakrifkan kepada golongan ‘asal miskin’ dan ‘mudah miskin’ berdasarkan budaya yang diamalkan masyarakat kini.
Ujarnya, kelompok berkenaan bergantung kepada corak perbelanjaan dan kaedah pengurusan kewangan yang diamalkan dalam kehidupan pada masa kini.
"Selain kumpulan yang memang miskin, ada lagi satu kumpulan yang dipanggil ‘mudah miskin’. Situasi ini selalunya berlaku disebabkan sikap gagal dalam pengurusan kewangan melibatkan pembiayaan peribadi seperti kad kredit dan trend Beli-Dulu-Bayar-Kemudian (BNPL).
"Ia antara punca yang membesarkan lagi jumlah bilangan ‘mudah miskin’. Dalam usaha untuk menangani isu miskin, kita berdepan pula dengan budaya yang mendorong kepada tabiat baharu ini," jelasnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment