NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sepatutnya disanjung tetapi diherdik, kata Mahathir mengenang Daim



Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa "sedih tidak terhingga" atas kematian Daim Zainuddin, sambil berkata beliau kesal bekas menteri kewangan itu menjadi sasaran serangan di akhir hayatnya walaupun memberikan sumbangan besar kepada negara. 

"Sepatutnya dia disanjung kerana sumbangannya kepada perjuangan. Tetapi di akhir hayatnya dia diherdik tanpa sebab. Tanpa sebab! Kerana dendam.

"Inikah balasan yang menimpa kerana dendam?" tulis Mahathir dalam reaksi terhadap berita kematian tokoh berusia 86 tahun itu.

Daim sering menjadi sasaran serangan Anwar Ibrahim, yang menuduhnya mengumpul kekayaan, tuduhan yang sering dibuat perdana menteri terhadap musuh politiknya termasuk Mahathir.

Awal tahun ini, Daim didakwa atas tuduhan gagal mematuhi syarat notis pengisytiharan aset, selepas siasatan yang terpalit kontroversi susulan pendedahan Bloomberg bahawa Anwar memberikan tekanan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat musuh politiknya. 

Daim pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan di bawah pentadbiran Mahathir yang pertama dari tahun 1984 hingga 1991, di mana beliau memperkenalkan pelbagai pembaharuan ekonomi sebagai persediaan kebangkitan Malaysia sebagai kuasa ekonomi serantau.

Beliau sekali lagi kembali mengemudi ekonomi selepas pemecatan Anwar sebagai menteri kewangan pada 1998, ketika Malaysia menerima tempias krisis kewangan Asia bermula 1997.

Daim yang mengalami strok, buta sebelah mata dan terpaksa berkerusi roda, meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya, pagi tadi.

Jenazahnya akan dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan dekat Jalan Duta selepas solat Asar.

Daim merupakan antara orang kepercayaan Mahathir, dan dilantik menasihati beliau selepas pilihan raya umum 2018 yang menyaksikan Mahathir kembali memegang kuasa.

"Ya Allah. Adililah Daim berasas keadilan. Berilah tempat kepadanya di akhirat sebagai pejuang bangsa. 

"Saya hanya mampu berdoa. Akan kita bersama kembali di masa tertentu," tulis Mahathir.



Sumber | MalaysiaNow














........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo