Peguam kanan menegaskan waris bekas menteri kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin perlu mengambil tindakan sivil jika berhasrat mencari kebenaran.
Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata Jabatan Peguam Negara tidak boleh terus didesak untuk meneruskan pendakwaan yang dilihat bercanggah dengan undang-undang.
“Kita tidak boleh paksa pendakwa raya untuk meneruskan pertuduhan kerana itu bukan kedudukan di bawah Perlembagaan atau undang-undang.
“Jika keluarga Allahyarham tidak berpuas hati dengan cara Allahyarham dilayan semasa hidupnya, saya yakin mereka boleh mengambil nasihat lanjut untuk mengambil tindakan sivil.
“Ia boleh dibuat di bawah pendakwaan curang sekiranya boleh ditampilkan asas dan bukti niat curang atau jahat di pihak pendakwaan,” katanya menerusi video terbitan Inspirasi Channel.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Daim atas tuduhan gagal mengisytiharkan harta.
Hakim, Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan yang meminta kes tersebut tidak diteruskan.
Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhirnya minggu lalu dituduh bersama balunya, Toh Puan Na’imah Khalid kerana gagal mengisytiharkan harta.
Daim, 86, pada Januari lalu didakwa kerana gagal mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di beberapa negeri.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM100,000.
Haniff berkata waris dan masyarakat perlu menyedari apabila pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes maka nama Allahyarham sudah dibersihkan.
“Bukan sahaja kes sudah digugurkan tetapi mahkamah menyusuli dengan perintah pembebasan yang bermakna Allahyarham didapati tidak bersalah.
“Maka masyarakat kena menerima hakikat bahawa pembebasan yang diberikan mahkamah adalah membersihkan nama baik Allahyarham,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment