KUALA LUMPUR - Rundingan berhubung peruntukan buat ahli Parlimen pembangkang secara individu masih lagi terbuka, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau menegaskan, rundingan secara kumpulan besar iaitu Perikatan Nasional (PN) sudah tertutup namun beliau mengalu-alukan sekiranya ada individu dari blok itu yang mahu berunding.
Menurutnya, setakat ini, hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi maklum balas terhadap surat dan e-mel berkaitan perkara tersebut dan akan dibincangkan di bawah Whip kerajaan.
“Kalau ada di kalangan individu ahli Parlimen di sebelah sana (pihak pembangkang) untuk berbincang dengan saya, saya terbuka.
“Tapi secara kelompok saya dikatakan sudah pun menolak daripada keputusan pihak parti itu sendiri. Jadi saya tak boleh buat apa-apalah sebab tugas saya adalah untuk berunding, kalau tak nak berunding saya tak boleh buat apa-apa.
“Saya hanya berunding dengan mereka yang nak berunding,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menambah, Syed Saddiq akan dipanggil bagi menyampaikan respons terhadap segala cadangan yang diberikan.
"Terima kasih Yang Berhormat," balas Syed Saddiq.
Pada Selasa, Fadillah berkata, pintu rundingan berhubung memorandum persefahaman (MoU) bagi peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang sudah ditutup.
Tegasnya, tindakan untuk merujuk semula kepada pihak yang sudah menolak 'pinangan' adalah memalukan.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap tindakan PN sebulat suara menolak MoU atas empat sebab utama iaitu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, yang mana beberapa syarat dikenakan dalam dokumen dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.
Malah pembangkang menyifatkan MoU itu turut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama kerana draf MoU itu mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral agama serta tempatan.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment