KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengutarakan keraguan berhubung pemantauan dan tatakelola Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) terhadap pelaburan mereka, khususnya dalam suntikan pelaburan bernilai RM47 juta kepada FashionValet.
Beliau berkata, dana sebesar itu jika disalurkan kepada usaha kecil seperti perniagaan tempatan, boleh memberikan pulangan yang lebih besar kepada masyarakat.
“Apakah langkah-langkah pemantauan yang diambil oleh Khazanah dan PNB terhadap prestasi kewangan FashionValet selepas pelaburan dibuat.
“Adakah tanda-tanda awal masalah kewangan yang mungkin diabaikan. Ini kerana selepas FashionValet menerima pelaburan RM47 juta daripada Khazanah.
“Beberapa bulan kemudian atau lebih tepat pada 4 Disember 2018, FashionValet membeli keseluruhan kepentingan ekuiti dalam 30 Maple Sendirian Berhad sebanyak melibatkan pembelian yang berjumlah RM95 juta.
“Menariknya, 30 Maple dan FashionValet ini dimiliki oleh orang yang sama. Syarikat tangan kanan beli daripada tangan kiri. Tidakkah ini merupakan urus niaga yang sepatutnya dipantau oleh Khazanah membuat pelaburan ataupun selepas Khazanah membuat pelaburan tersebut,” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut meminta Menteri Kewangan menyenaraikan start-up yang telah dibiayai oleh Khazanah dalam tempoh 10 tahun terakhir, serta menyatakan tahap prestasi keuntungan dan kerugian setiap pelaburan tersebut.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, semasa pelaburan dibuat, unjuran yang ada menunjukkan segmen e-dagang sebagai prospek yang menguntungkan.
Namun, katanya, kesan pandemik Covid-19 yang tidak dijangka telah mengakibatkan syarikat seperti FashionValet berdepan kekangan dalam mengembangkan saluran pengedaran produk secara fizikal.
“Jadi seperti saya terangkan tadi inilah antara sebab-sebab kegagalan yang berlaku,” ujarnya.
Menurut beliau, tempoh antara 2018 hingga 2023, PNB telah melabur sebanyak RM0.8 bilion dalam sektor persendirian dan berjaya merekodkan keuntungan sebanyak RM1.2 bilion daripada hasil jualan aset legasi. – HARAKAHDAILY 14/11/2024
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment