NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pejuang tak mahu kes Daim ditutup, tuntut AG, SPRM jawab tuduhan



Parti Pejuang Tanah Air tidak bersetuju tindakan pihak berkuasa membatalkan pertuduhan terhadap sahabat lamanya, Daim Zainuddin, yang meninggal dunia pada 13 Nov lalu.

Ketua penerangannya Rafique Rashid menuntut Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki untuk menjawab apakah benar allahyarham telah mencuri wang rakyat.

Ini selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Allahyarham daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan aset di bawah Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah, susulan permohonan timbalan pendakwa raya.

Tanpa menyebut nama Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Rafique berkata "penguasa" itu sebelum ini mengulang retorik untuk memerangi rasuah dan mengembalikan dana yang telah dicuri kepada rakyat.

"Apa yang berlaku kepada usaha untuk menuntut semula wang rakyat yang kononnya dicuri oleh pemimpin terdahulu ketika berkuasa.

“Peguam negara dan ketua suruhanjaya SPRM mesti mengeluarkan kenyataan rasmi. Adakah Daim mencuri dana awam dalam jumlah berbilion-bilion?” soalnya dalam satu kenyataan.

Selagi tiada kenyataan rasmi khusus mengenai perkara ini, Rafique berkata orang ramai akan tertanya-tanya mengenai kebenarannya.

“Kenyataan itu tidak semestinya teknikal dari perspektif undang-undang. (Menjawab sama ada) Daim mencuri atau tidak sudah memadai,” katanya lagi.

Rafique juga menyatakan bahawa balu Daim, Na'imah Abdul Khalid tidak mahu kes itu ditutup untuk membersihkan nama suaminya.

"Rakyat digalakkan untuk memikirkan perkara ini," tambahnya.

Susulan kematian Daim, Rafique berkata Allahyarham sepatutnya dihargai atas sumbangannya tetapi sebaliknya difitnah.

"Saya sedih tidak terkata. Dia patut dipuji atas sumbangannya kepada perjuangan (untuk bangsa, negara, agama).

"Tetapi pada akhir hayatnya, dia dikutuk tanpa sebab. Tiada sebab! Melainkan untuk membalas dendam," tambahnya.



Sumber | Malaysiakini








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo