NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Nak tetapkan harga lantai padi RM1,500 satu tan, saya bukan diktator' - Mat Sabu

Mohamad pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi menetapkan harga lantai belian padi kepada RM1,500 satu tan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini harga minimum belian ditetapkan pada harga RM1,300 bagi setiap tan metrik dan pelaksanaan tersebut turut melibatkan Sabah dan Sarawak mulai 15 Februari lalu.

"Nak tetapkan RM1,500 (satu tan), saya bukan diktator, perlu berbincang dengan semua pihak terutama Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan sebagainya kerana kerajaan ada sistem.

"Saya ingin menegaskan bahawa penetapan harga adalah langkah strategik bagi melindungi kepentingan pesawah dan perbezaan harga antara negeri adalah keputusan perniagaan berdasarkan dinamik pasaran setempat," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar, di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sementara itu menjawab kebimbangan sama ada kerajaan bercadang menyelaras harga jualan padi di seluruh negara, beliau memaklumkan, ia akan dimuktamadkan selepas kajian terperinci mengenai penyelarasan harga baharu dibuat dalam masa terdekat.

"Kajian ini bertujuan memastikan kestabilan harga padi di semua kawasan dan membantu meningkatkan pendapatan pesawah secara adil.

"Ini adalah sebahagian daripada reformasi industri padi dan beras yang sedang dilaksanakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menegaskan, semakan semula harga siling beras putih tempatan wajar dilaksanakan sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang.

Walaupun cadangan tersebut masih dalam proses kajian, beliau menjelaskan, pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sudah melengkapkan laporan mengenai industri padi dan beras.

"Laporan ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (FSCC) akan datang.

"KPKM komited untuk meneliti hasil kajian ini serta syor yang dikemukakan dengan harapan reformasi industri padi dan beras dapat dilaksanakan secara menyeluruh," ujarnya.



Sumber | Sinar Harian








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo