NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Markah D: Kenyataan Bersih gopoh, dangkal - Setpol Anwar




Kenyataan Bersih memberikan markah D kepada kerajaan Madani sepanjang dua tahun pentadbirannya disifatkan sebagai gopoh dan dangkal, kata setiausaha politik kepada menteri kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Menafikan dakwaan itu, Muhammad Kamil berkata reformasi dan agenda perubahan politik, ekonomi dan pentadbiran masih berjalan.

"Reformasi juga bermaksud prestasi kerajaan mesti dinilai melalui indikator dan petunjuk ekonomi secara keseluruhan serta keyakinan pelabur yang bertambah baik.

"Sebarang kenyataan dan skema penggredan yang mengenepikan fakta dan kedudukan terkini dilihat sebagai kenyataan yang agak gopoh dan dangkal," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam sebuah forum memberikan markah D kepada kerajaan kerana gagal memenuhi semua agenda reformasi seperti yang dijanjikan.

Bersih turut meletakkan Anwar Ibrahim ketinggalan di belakang pendahulunya Ismail Sabri Yaakob dan Dr Mahathir Mohamad dalam menunaikan janji reformasi.

Faisal berkata wujud jurang yang ketara antara janji reformasi dan pelaksanaannya daripada aspek kemajuan, progres dan tindakan.

Menurutnya, penilaian itu, yang menggabungkan dua bahagian - janji manifesto dan perbandingan dengan kerajaan terdahulu - menyaksikan kerajaan Madani hanya memperoleh markah 45.8 peratus.

‘Tak ambil kira tempoh pentadbiran’

Bagaimanapun, Muhammad Kamil berkata Bersih tidak mengambil kira salah satu faktor penting dalam penilaiannya iaitu tempoh pentadbiran kerajaan.

"Sebagai contoh, daripada 34 (janji) reformasi, Bersih kata 19 daripadanya dalam kategori "fulfilled + in progress". Maknanya, 56 peratus reformasi dah digerakkan.

"Tapi kalau Bersih nilai faktor masa memerintah, Kerajaan Perpaduan baru perintah 24/60 bulan (40 peratus). Kalau Bersih ambil kira faktor ini, dalam tempoh 40 peratus penggal, Kerajaan Perpaduan dah selesaikan atau mulakan 56 peratus reformasi.

"Peratusan (pelaksanaan) reformasi lebih tinggi daripada peratusan tempoh memerintah. Adakah masih gagal dan gred D?" soalnya.

Dia juga mempertahankan keputusan tidak popular seperti penyasaran subsidi diesel sebagai langkah wajar dan berani untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara.

"Kita dapat saksikan betapa bantuan langsung kepada rakyat telah ditingkatkan selain pewujudan akta fiskal yang menuntut kerajaan berbelanja mengikut keupayaannya dan tidak boros, sememangnya reformasi yang begitu mendesak dan diberi keutamaan.

"Justeru, apa yang ingin ditegaskan di sini adalah kita harus belajar dan timba dari pengalaman yang lalu.

“Perubahan harus dilaksanakan dengan bijaksana, tidak gopoh, dan mengikut keutamaan berdasarkan konteks dan keadaan semasa," katanya.

Katanya, hal-hal lain yang sedang dirangka termasuk akta perolehan kerajaan bagi memastikan sistem perolehan yang lebih telus dan berintegriti.

Tambahnya, perdana menteri dan kerajaan sentiasa terbuka untuk menerima sebarang pandangan serta kritikan yang bertanggungjawab.



Sumber | Malaysiakini












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo