NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Markah D: 'Adakah kerajaan benar-benar bertekad laksana reformasi?'



Beliawanis MCA mempersoalkan jika kerajaan benar-benar mempunyai iltizam politik untuk melaksanakan reformasi, susulan penilaian gred ‘D’ yang diberikan Bersih untuk dua tahun pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketuanya Ivone Low turut memetik kenyataan Bersih bahawa “terdapat jurang antara janji dan pelaksanaan sebenar”, yang menurutnya hanyalah kiasan yang sebenarnya bermakna kerajaan “cakap tak serupa bikin”.

“Kerajaan wajar segera bermuhasabah diri susulan penilaian gred ‘D’ yang diberikan Bersih yang memantau prestasi kerajaan sepanjang dua tahun pembentukannya.

“Adakah kerajaan yang diketuai PH benar-benar ada iltizam politik untuk melakukan reformasi seperti yang dijanjikan? Dengan majoriti yang selesa di Parlimen, apa lagi yang menjadi batu penghalang?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Ketika pembentangan “kad laporan” kerajaan semalam, Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata gred itu - dengan markah 45.8 peratus - ekoran kegagalan kerajaan memenuhi semua agenda reformasi seperti yang dijanjikan.

Faisal juga berkata penilaian mereka terhadap dua tahun pertama kerajaan mendapati terdapat jurang yang ketara antara janji reformasi dan pelaksanaan sebenar.

Bersih turut meletakkan pentadbiran Anwar di belakang pendahulunya, Ismail Sabri Yaakob dan Dr Mahathir Mohamad dalam menunaikan janji reformasi.

Bagaimanapun, setiausaha politik Anwar, Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan penilaian itu sebagai gopoh dan dangkal kerana menafikan “fakta dan kedudukan terkini”, dengan agenda perubahan politik, ekonomi dan pentadbiran masih sedang berjalan.

Katanya lagi, Bersih juga tidak mengambil kira faktor tempoh pentadbiran, dengan kerajaan pimpinan Anwar baru berusia dua tahun.

Low turut bertanya jika Bersih, yang menurutnya sebelum ini dikenali sebagai pendukung PH, akan mengambil tindakan drastik seperti mengadakan himpunan bagi menuntut reformasi dilaksanakan.

“Sanggupkah mereka melakukan demonstrasi besar-besaran sekali lagi menuntut reformasi daripada PH, sebagaimana mereka buat terhadap kerajaan BN semenjak 2007, atau setakat ‘marah-marah sayang’ dan ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja terhadap PH?” soalnya.



Sumber | Malaysiakini







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo