NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kisah duka pemandu pekak Grab yang kehilangan anak tunggal sebelum insiden serangan

Gambar Ong sekeluarga bercuti di Singapura – salah satu kenangan terakhir yang masih diingatinya sebelum kematian anaknya.


Mukanya penuh ekspresi, dan walaupun nampak tenang, Ong Ing Keong asyik mengelak pandangan mata. 

Ada ketika dia nampak marah, ada ketika kedengaran dia mengeluh berat, menggeleng kepala sambil mengetuk jari telunjuknya pada skrin telefon bimbit di atas meja seakan mahu memberitahu sesuatu. 

Begitulah keadaan pemandu e-hailing pekak ini ketika MalaysiaNow bertemu dengannya di sebuah restoran di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Meskipun suasana hingar bingar sewaktu makan tengah hari, Ong dan beberapa rakannya lincah berkomunikasi dalam bahasa isyarat membincangkan kes mahkamah melibatkan lelaki yang menyerangnya di sebuah hotel terkemuka beberapa bulan lalu. 

Ong masih terganggu dengan insiden itu. 

Ketika ditanya, dia cuma menggeleng kepala,

"Saya amat kesal dengan keputusan mahkamah yang hanya mendenda pelaku tersebut RM1,000," Ong memberitahu MalaysiaNow menggunakan bahasa isyarat yang diterjemahkan oleh rakannya.

Jelasnya, hukuman itu satu gambaran tentang layanan sistem kehakiman terhadap komuniti orang kelainan upaya di Malaysia. 

Dia turut mempersoalkan, siapakah pelaku bernama Taufik Ismail yang didakwa itu. 

"Apakah dia orang sama dalam rakaman kamera litar tertutup dan dashcam kereta?

"Mengapa dia dibawa ke mahkamah dengan penuh 'misteri' sehingga perlu bersembunyi dari pandangan khalayak umum?

"Bagi kami orang pekak, visual sangat penting. Semua orang ada nama. Tapi kami perlu padankan nama itu dengan visual seseorang. 

"Jika visual tak ada, adakah orang ini wujud?" 

Peristiwa kematian anak

Sebelum kejadian serangan itu pun, Ong menjalankan tugas dengan penuh berat hati susulan tragedi yang menimpa dirinya, apabila anak tunggalnya terbunuh dalam kemalangan pada Mei lalu. 

Dia sering menyalahkan dirinya atas apa yang menimpa anak lelakinya yang berumur 14 tahun itu, merasa bersalah kerana tidak dapat meluangkan banyak masa bersama anak lelakinya itu kerana sibuk bekerja mencari rezeki. 

"Dia meninggal di kampung halaman ibu saya di Perak. 

"Selepas peristiwa itu, saya sangat sedih dan serba salah untuk keluar bekerja meninggalkan isteri keseorangan di rumah," katanya.

"Sudahlah anak baru sahaja pergi, saya masih bersedih, kadang kala menangis. Kemudian, kejadian ini pula menimpa dan wajah saya menangis jadi tontonan banyak pihak." 

Mengharapkan kenyataan maaf terbuka

Bagi Ong dan rakan-rakannya, komuniti OKU pekak menganggap kes serangan lewat Mei itu tidak berakhir dengan keadilan, sebaliknya pendakwaan yang terburu-buru untuk menutup kes dan mulut individu yang bercakap mengenainya. 

Mereka meminta supaya Taufik tampil bersemuka dengannya dan membuat permohonan maaf secara terbuka. 

"Buat di depan media, siarkan di depan televisyen atau video di media sosial. Bukannya jumpa dalam pejabat berdua tanpa visual di depan umum. 

"Harus ingat, visual amat penting bagi komuniti pekak," katanya. 

Dia cuba meneruskan rutinnya seperti biasa tanpa mahu dihantui peristiwa hitam itu lagi. 

Baginya, kes yang dihadapinya itu sangat jelas dan tidak rumit, tetapi cara ia disiasat amat "pelik" kerana mengambil masa yang panjang. 

Katanya, dia sendiri berasa kekok apabila melihat kes tersebut perlu diperbesarkan yang menurutnya dianggap amat mudah dengan bukti yang jelas. 

Ketika ditanya, sama ada dia menyedari sentimen di sebalik kes itu kerana melibatkan pengiring rombongan pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Ong mengangguk faham. 

Namun dia enggan mengulas lanjut, hanya menjawab ringkas bahawa kes itu sepatutnya mudah diselesaikan dan tidak perlu melibatkan perkara yang rumit. 

Selepas makan, Ong kembali menyambung kerjanya mengambil penumpang di sekitar ibu kota. 

Ong seorang pemandu yang berhemah. Dia singgah di stesen minyak untuk menggunakan bilik air dan membeli keperluan seperti air mineral dan gula-gula. 

Dia juga berhenti di bahu jalan dan menunggu penumpangnya dengan sabar sebelum meneruskan perjalanan. 

Kemudian, dia mengambil masa untuk berehat dan bersendirian. Apabila dia berjumpa taman kecil di tengah-tengah kawasan perumahan, dia berhenti dan duduk di bawah pokok yang redup. 

Ketika itu, dia akan memeriksa pesanan di telefon bimbitnya. 

Dia juga menunjukkan sekeping gambar yang menjadi pengubat rindu dan penyuntik semangat hidupnya. 

Ia menunjukkan Ong berdiri di tengah, sambil kedua-dua tangannya merangkul bahu isteri dan mendiang anaknya.

Ong merasa bangga dengan rakyat Malaysia yang tampil menunjukkan sokongan terhadap kejadian yang menimpanya. 

Baginya, tiada yang menggambarkan rasa syukur terhadap sokongan yang ditunjukkan rakyat Malaysia dalam memastikan keadilan untuknya. 

"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada peguam kerana membantu saya dan juga kepada Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim kerana bantu hubungi peguam bagi pihak saya. 

"Tak kira warna kulit, agama dan latar belakang, kita semua anak Malaysia." 


Sumber | MalaysiaNow 












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo