PARLIMEN l Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim memberi amaran kepada kerajaan bahawa ia berisiko mendapat gred lebih rendah daripada D seperti yang diberikan oleh Bersih jika suara rakyat diambil kira dalam penilaian pertengahan penggal selepas dua tahun mentadbir.
Bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen, hari ini, Shahidan mendakwa pentadbiran pimpinan Anwar Ibrahim hari ini berdepan masalah di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Sehingga orang yang dulu beri pengiktirafan tinggi pada kerajaan sekarang - Bersih, mereka menyokong kerajaan tetapi hari ini hampir kami semua (pembangkang) terpitam kerana Bersih telah beri markah D pada kerajaan.
“D ni apa makna? Siapa dapat markah D dia boleh terus bernafas tetapi dalam keadaan yang cedera. Kecederaan ini perlu dibuat pembaharuan serta-merta,” kata Shahidan pada sidang media bersama ahli-ahli parlimen PN.
Dalam pembentangan yang menurut Bersih sebagai kad laporan kerajaan malam semalam, kumpulan reformasi pilihan raya itu turut meletakkan Anwar di belakang pendahulunya Ismail Sabri Yaakob dan Dr Mahathir Mohamad dalam menunaikan janji reformasi mereka.
Pengerusi Bersih, Faisal Aziz berkata penilaian mereka berhubung dua tahun pertama kerajaan mendapati terdapat jurang yang ketara antara janji reformasi dan pelaksanaan sebenar.
Penilaian itu, yang menggabungkan dua bahagian - menunaikan komitmen manifesto dan perbandingan dengan pentadbiran terdahulu - kembali dengan kerajaan Madani mencatatkan jumlah 45.8 peratus, katanya.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata kerajaan perlu segera memulakan pembaharuan dalam keadaan yang didakwanya bermasalah dengan lebih ramai ahli parlimen bumiputera menjadi pembangkang, bertentangan dengan penduduk negara ini yang lebih 70 peratus adalah bumiputera.
“Kerajaan perlu buat sesuatu dan rakyat sedang melihat sekarang.
“Rakyat kalau bagi saya percaya mereka bagi E, tapi Bersih alhamdulillah bagi D,” katanya.
“Tapi Bersih, alhamdulillah dapat gred D,” katanya.
Mengenai perkara berasingan, Shahidan berkata dia menunggu kehadiran Anwar untuk Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat esok selepas melakukan kunjungan rasmi ke empat negara sejak awal bulan ini.
Secara khusus, Shahidan merujuk kepada sidang akhbar Anwar di Lima, Peru, apabila perdana menteri menjawab kritikan terhadap temu bualnya baru-baru ini dengan wartawan CNN, Richard Quest yang menyentuh tentang kewujudan negara Israel.
Anwar menyifatkan pengkritiknya sebagai antara “penunggang agama” yang menyebarkan pembohongan dan fitnah, sambil menekankan perbezaan antara kewujudan Israel dan pengiktirafan Malaysia.
“Siapa penunggang agama? Agama ini kuda ke boleh ditunggang?
“Saya geram kalau kita cakap (dia kata kita) penunggang agama. Sebab saya pakai songkok saya penunggang agama? Yang hangpa (kamu) agama apa? Main tuduh-tuduh penunggang agama…,” katanya.
Sebaliknya, Shahidan menambah lebih banyak penghargaan harus diberikan kepada mereka yang ikhlas bersuara membela agama.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata video tular yang mendakwa Anwar menerima "hak Israel untuk wujud dan mempertahankan dirinya", telah disunting oleh pihak tertentu.
Sumber | Malaysiakini
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment