NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tun M garis lapan perkara untuk The Greater Kedah




ALOR SETAR
: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggariskan lapan perkara utama dan penting sebagai hala tuju pembangunan negeri ke arah menjulang The Greater Kedah yang telah dilancarkan di Dewan Seri Mentaloon, di sini hari ini.

Bapa Pembangunan Malaysia itu membutirkan perkara pertama dengan menyifatkan gagasan tersebut adalah kesinambungan kepada perancangan memajukan Empat Kerajaan Negeri ataupun SG4 yang terdahulu dilancarkan pada awal September lalu.

“Dalam lain perkataan, The Greater Kedah tidak bergerak secara sendirian, tetapi berkait rapat dengan usaha memajukan SG4, yang mana Kedah adalah salah satu daripada empat negeri tersebut. Bezanya ialah, SG4 bertindak dari atas ke bawah.

“Manakala Greater Kedah bersifat dari bawah ke atas. Ia tidak bercanggah malahan bersifat complementary atau saling melengkapi. Kerana itu usaha Greater Kedah ini perlu disokong dan diperkukuh kerana ia akan bersifat contributive(penyumbang).

“Selain memastikan Kedah berjaya memajukan diri, ia akan menyumbang kepada kejayaan SG4. Selain itu, kejayaan Kedah menjadi maju akan mewujudkan persaingan sihat di antara Negeri-negeri SG4 yang lain,” ujarnya.

Kata Tun Dr Mahathir, walaupun Kedah sering dianggap sebagai salah satu negeri yang agak ketinggalan berbanding negeri lain di Pantai Barat, ia memikul satu tanggungjawab besar terhadap kelangsungan Malaysia.

Menurut beliau mengenai perkara kedua, panggilan ‘Negeri Jelapang Padi’ adalah satu gelaran yang datang dengan satu tanggungjawab besar kerana Kedah dipertaruhkan sebagai negeri pembekal makanan ruji utama buat Negara.

Jelasnya, ketika negeri-negeri lain berlumba menerokai perindustrian, Kedah perlu mempertahan pertanian, penanaman padi secara khusus, demi food security ataupun keterjaminan makanan negara.

Malangnya getus beliau, penanaman padi dan penghasilan beras tidak memberi pulangan ekonomi yang tinggi dan lumayan bagi petani seterusnya untuk negeri, oleh itu Tun menyarankan inisiatif untuk dipertimbangkan dalam The Greater Kedah.

“Meneruskan sektor pertanian khususnya penanaman padi dengan mengguna sistem perladangan komersil. Pendekatan ini bermakna pemilik sawah tidak lagi menanam secara bersendirian tetapi mereka terkumpul di dalam satu kelompok besar dan diuruskan pakar pengurusan pertanian.

“Pemilik pula akan kekal dengan pemilikan tanah yang dijadikan modal saham dalam estet padi didirikan. Seperti juga dengan ladang getah dan kelapa sawit pendapatan dari ladang besar lebih besar dari sawah padi sendirian yang kecil.

“Ini memastikan tiada tanah sawah terbiar, atau yang memberi hasil yang rendah,” ujar Penasihat SG4 serta bekas Ahli Parlimen Langkawi dan Kubang Pasu selain juga bekas Presiden Umno dan bekas Pengerusi BERSATU.

Tun dalam perkara ketiga menyentuh mengenai Kedah walaupun telah sejak begitu lama dikenali sebagai Negeri Jelapang Padi, tetapi telah berjaya memperluas dan mempelbagaikan aktiviti ekonominya.

Beliau menyenaraikan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Koridor Industri Kulim (KIC), Zon Ekonomi Khas DELAPAN (DSEZ), Bandaraya Getah Kedah (KRC) dan Taman Teknologi & Sains Kedah (KCTP) yang wujud sebagai bukti pencapaian tersebut.

“Sekarang ini, Kedah didapati mempunyai rizab rare unsur nadir bumi (REE) yang banyak dan menanti untuk diterokai. Yang penting sekarang ialah untuk pemimpin Kedah memastikan bahawa ia bukan setakat menjadi pengeluar bahan mentah REE.

“Tetapi menyertai industri hiliran supaya hasil yang diperolehi berlipat ganda. Semua ini mempunyai keupayaan untuk menjadi pesaing bukan sahaja dirantau ini, malahan di peringkat global,” ujarnya sebagai perkara keempat.

Kelima untuk The Greater Kedah, beliau mengemukakan pencapaian Langkawi dari sebuah pulau mundur yang terkena sumpahan Mahsuri, supaya ditukar menjadi pusat pelancongan bertaraf antarabangsa.

Jelasnya, ia berlaku bukanlah semata-mata satu proses evolusi semula jadi, tetapi hasil dari perancangan teliti dan terperinci di mana bukan sesuatu yang mustahil kerana tidak ada sebab untuk pantai barat lebih maju dari SG4.

“Namun begitu, untuk memastikan kesemua blue-print dan perancangan yang disediakan mencapai matlamat, amat penting untuk pemimpin dan pelaksana mempunyai sikap amanah serta rasa bertanggungjawab.

“Kedua sikap ini akan memastikan pelaksanaan apa juga perancangan disediakan akan tercapai. Jika tidak, selain rasuah, proses birokrasi menyusah dan membeban akan membuat pelabur membawa pelaburan ke negeri ataupun negara lain,” ujarnya membutir perkara keenam itu.

Perkara ketujuh disentuhnya adalah penegasan bahawa dasar yang digubal oleh kerajaan, sekiranya tidak dilaksana dengan baik oleh semua pihak, dasar tersebut tidak akan berjaya di mana beliau menuntut peranan para penjawat awam.

Katanya, sama ada Persekutuan atau Pegawai Kerajaan Kedah (KCS), mereka perlu untuk turut menyedari bahawa mereka juga adalah merupakan pemegang amanah kepada usaha-usaha membangun negeri Kedah.

Nasihatnya, sikap dan peranan penjawat awam akan menentukan sama ada agenda The Greater Kedah ini akan berjaya atau sebaliknya, manakala perkara kelapan menegaskan bahawa Kedah adalah sebuah negeri Melayu-Islam.

“Sudah sampai masanya kita keluar dari kepercayaan bahawa dunia ini untuk bukan Islam dan akhirat itu untuk kita. Kita perlu menghayati tuntutan agama bahawa kita berhak di dunia dan di akhirat.

“Jika kita terima hakikat ini, kita juga akan sedar bahawa memajukan negeri kita ini adalah amanah yang wajib kita laksanakan. Kerana jika kita berjaya memajukan Kedah dengan acuan kita sendiri, ianya adalah kejayaan orang Melayu dan agama Islam.

“Dengan itu barulah kita boleh mengaku bahawa kita telah melaksanakan tanggungjawab kita kepada agama, bangsa dan tanah air. Ini dituntut oleh Islam dan ia adalah satu ibadah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/10/2024





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo