NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Titah adendum tersebar di media social : Peguam Najib gesa teliti kesahihan dokumen

story-image

Seorang anggota pasukan undang-undang Najib Razak menggesa kerajaan meneliti kewujudan dokumen yang dikatakan sebagai titah adendum berhubung pengampunan diraja yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

Bercakap kepada Malaysiakini, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata ini susulan penemuan di media sosial tentang apa yang didakwa sebagai sebahagian daripada titah adendum itu.

“Sukar untuk kami mengesahkan kesahihan dokumen itu pada peringkat ini kerana apa yang kami lihat adalah gambar yang tersebar di media sosial.

“Namun, kini lebih daripada sebelumnya, kerajaan harus terlebih dahulu mengesahkan atau menafikan kewujudan adendum itu yang sehingga kini telah disambut dengan senyap yang meragukan walaupun ada gesaan berkali-kali untuk menjawab,” katanya ketika dihubungi.

Najib mula-mula mendakwa wujudnya tidah adendum itu dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 April, yang sejak itu telah ditolak dan dalam rayuan.

Menurut salinan permohonan semakan kehakiman, Najib mendakwa Yang di-Pertuan Agong telah mengeluarkan titah adendum pada 29 Jan, hari yang sama dengan perintah pengampunan separa.

Bekas menteri kewangan itu memohon perintah mahkamah untuk memaksa menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan, dan beberapa responden lain untuk mengesahkan dakwaan titah adendum ini dalam pengampunan diraja yang mengurangkan separuh hukuman penjara 12 tahun berhubung kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Farhan berkata tanpa pengesahan rasmi, peguam tidak boleh bertindak semata-mata berdasarkan muka surat pertama dan terakhir dokumen yang didakwa, yang dikongsi di media sosial termasuk akaun yang dipercayai penyokong Umno.

Orang lain yang berkongsi dokumen yang didakwa termasuk presiden Parti Cinta Malaysia Huan Cheng Guan yang menuntut pemimpin kerajaan memberikan jawapan "ya" atau "tidak" mengenai kewujudan titah adendum itu.

Muka depan yang dikatakan menunjukkan dokumen itu dihantar kepada ketua pengarah Jabatan Penjara dan "semua penerima lain yang dimaksudkan".

Farhan berkata pasukan peguam Najib sepatutnya dimasukkan dalam senarai penerima yang dimaksudkan jika dokumen yang didakwa itu adalah tulen.

“Dengan mengandaikan dokumen itu dianggap tulen dan ia tidak dikemukakan kepada anak guam kami atau diambil tindakan (seperti yang diamanatkan secara sah), ini merupakan penindasan secara sengaja terhadap hak perlembagaan anak guam kami dan ia menimbulkan persoalan tentang apa lagi yang telah ditindas daripada anak guam kami dalam usahanya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama dalam semua perkara undang-undangnya,” tegasnya.

Najib dalam permohonan asalnya telah mendakwa bahawa sikap tidak peduli responden terhadap permintaannya untuk pengesahan titah adendum itu merupakan pencerobohan langsung hak asasinya di bawah Perlembagaan Persekutuan dan juga penghinaan langsung kepada Agong.

Najib seterusnya mendakwa bahawa responden cuba menyembunyikan kewujudan dakwaan titah adendum itu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April menyokong permohonan asal Najib.

Dia kemudian mendakwa bahawa pada 30 Jan semasa mesyuarat di rumahnya di Country Heights, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan kepadanya tentang titah adendum bertarikh 29 Jan itu.

Presiden Umno itu seterusnya mendakwa walaupun dia tidak mempunyai salinan titah adendum berkenaankerana ia adalah sulit memandangkan perintah itu masih belum dilaksanakan, dia mengesahkan bahawa dokumen itu berada dalam simpanan responden.

........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo