Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua yang dihimpunkan dalam satu gagasan panjang itu pada mulanya disasarkan pencapaiannya adalah 100 tahun, tetapi dipendekkan menjadi antara 25 hingga 26 tahun daripada sekarang.
“Dalam perjalanan 25 tahun itu akan ada ‘milestone’ untuk melihat setakat mana pencapaiannya untuk mengukur sasaran The Greater Kedah ini tercapai atau tidak serta akan dianalisa dari semasa ke semasa.
“Penyusunan strategik dan pendekatan digabungkan semua serta dibukukan, dalam buku rangka kerja The Greater Kedah yang disusun oleh team pelaksana yang dipengerusikan Dr Haim Hilman Abdullah,” jelasnya.
Kata Sanusi lagi, konsep umum The Greater Kedah merupakan perkara yang disebut serta diluangkan sebelum ini iaitu hak Kedah sejajar dengan pengorbanannya kepada kepentingan negara dan negeri lain.
“Kita ada sumber air, tetapi diambil secara percuma. Kita korbankan hutan dan lembangan anak sungai yang begitu luas dan panjang untuk bekalan air.
“Air itu perlu dibayar dan itulah salah satu perjuangan untuk mencapai The Greater Kedah,” tambah beliau.
Dalam pada itu ujarnya, Kedah yang telah mengorbankan 118,000 hektar kawasan sawah padi termasuk di dalam dan di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), ketika ini hanya memperoleh kutipan cukai sebanyak RM2.5 juta sahaja.
Sedangkan pengorbanan Kedah itu ujarnya, semata-mata untuk menyempurnakan sumbangan 43 peratus beras negara, namun dalam masa sama, orang lain yang memperoleh nikmat.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran The Greater Kedah, di Dewan Seri Mentaloon, hari ini.
“Setiap pengorbanan Kedah itu perlu dibayar kerana pengorbanan itulah nilainya The Greater Kedah,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.
Mengulas lanjut tegas beliau, projek-projek ikonik selaku ‘game changer’ kepada ekonomi Kedah akan diusahakan sehingga berjaya manakala apa sahaja yang membantut serta menghalangnya akan dikais satu persatu.
Usaha tanpa henti itu kata beliau, secara tidak langsung memberi galakan kepada anak-anak Kedah untuk mengambil peluang serta memotivasikan diri, bersedia dari pelbagai aspek, rohani dan jasmani merebut peluang yang ada.
“Pasal kita tak ‘ready’, jadi macam ular sawa, makan tidur, makan tidur, jadi lengai, tak buat kerja apa. Itu sebab kita nak pam anak-anak Kedah dengan pelbagai cara agar bangkit dan rebutlah peluang ini. Peluang ini tidak mai (datang) dua kali.
“Kita sediakan tempat pengajian di bidang yang sesuai dengan keperluan pasaran dan semasa. Boleh ubah nasib keluarga dengan ilmu pengetahuan. Mengajilah, jangan berhenti, jangan jemu,” katanya lagi
Justeru itu ujar Sanusi, semua kejayaan masa depan yang akan dibina di negeri ini berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan bukan mengharap bantuan dari pihak lain.
Apabila masyarakat dibina berdasarkan ilmu pengetahuan keupayaan serta kemahiran, maka katanya, baharulah negeri ini boleh mencapai The Greater Kedah seperti yang dihasratkan.
“Semua konsep ini adalah sederap daripada perjalanan semua pihak di Kedah untuk capai gagasan yang kita sasarkan ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/10/2024
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment