M Mythreyar mengimbau kembali kehidupan kanak-kanaknya di pagi Deepavali.
Ibu akan mengelilingi rumah memanggil nama adik-beradiknya seawal jam 5 pagi untuk membuat persiapan sembahyang dan mendapatkan restu ibu.
Selepas semuanya siap mengenakan pakaian raya, mereka berkumpul di ruang tamu.
Mythreyar masih ingat saat ibu menitiskan minyak kelapa ke atas kepalanya sebagai restu dari orang paling tua dalam rumah.
Ia disusuli sembahyang di rumah atau di kuil, dan menyantuni tetamu yang datang ke rumah, khususnya jiran tetangga dan sanak saudara.
Mythreyar, 46, hidup dengan tradisi itu berdekad lamanya sejak ayahnya masih hidup.
Kini, walaupun sudah kembali bujang, Deepavali tetap menjadi perayaan yang bermakna buat keluarga.
Bagaimanapun, Mythreyar sudah masuk tahun kedua tidak menyambut Deepavali, kerana dirinya betul-betul terkesan dengan nasib rakyat Palestin yang dibedil dan dibunuh beramai-ramai tanpa henti sejak Oktober tahun lalu, yang sehingga kini membunuh lebih 40,000 orang awam di Gaza.
"Baru-baru ini, ibu saudara kepada sahabat saya memberitahu dia tidak akan menyambut Deepavali kerana berkabung atas kematian anaknya.
"Bayangkan, kehilangan anak atau saudara terdekat kita pun kita sudah tidak ada upaya dan semangat untuk sambut perayaan.
"Begitulah saya anggap rakyat di Palestin, mereka seperti saudara saya. Bagaimana saya nak sambut perayaan apabila saudara saya di sana dibunuh beramai-ramai setiap jam, setiap detik?" katanya, sambil menambah mana-mana perayaan dalam dunia adalah satu bentuk sambutan yang diraikan setiap tahun tetapi ianya tidak boleh dibandingkan dengan nilai kemanusiaan dan nyawa seseorang.
Mythreyar menarik perhatian umum apabila memulakan mogok lapar membantah rancangan Putrajaya meneruskan penjualan saham Malaysia Airports Holdings (MAHB) kepada sebuah firma milik BlackRock, syarikat Amerika Syarikat yang terpalit dengan jenayah perang Israel.
Aktivis masyarakat berasal dari Tanjung Malim, Perak itu menahan lapar selama seminggu atau kira-kira lebih 200 jam, sambil berjemur dan bermalam beralaskan tikar di Dataran Merdeka, bagi menghantar mesejnya kepada ahli politik yang berulang alih ke Parlimen, yang terletak hanya 2km dari situ.
Mythreyar berkata dia masih mendengar sindiran mengenai usahanya, termasuk dari kalangan kenalan rapat.
Mereka mempersoalkan tindakan tidak menyambut Deepavali hanya kerana ingin memperingati perjuangan rakyat Palestin.
"Genosid dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin itu tak tunggu Deepavali, bukan bermakna hari ini sambutan jadi Israel berhenti membunuh.
"Saya meletakkan kemanusiaan lebih tinggi daripada sambutan perayaan setiap tahun," katanya.
Tetapi Mythreyar berkata dia tidak pernah memaksa ahli keluarganya untuk menuruti kehendaknya, bahkan masih menawarkan diri membantu ibunya membuat persiapan termasuklah mengemas rumah dan menyiapkan juadah Deepavali seperti kari ayam dan kambing.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment