NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Tak fikir panjang': Bekas anggota EPU era Najib bidas belanjawan Anwar

Isham Jalil berkata kerajaan sendiri nampaknya tidak faham siapa kumpulan dalam golongan berpendapatan paling tinggi. 




Bekas ahli Unit Perancang Ekonomi (EPU) ketika pentadbiran Najib Razak mempersoalkan tindakan memperkenalkan secara tiba-tiba sebuah kategori baharu golongan berpendapatan tinggi dalam Belanjawan 2025, menyifatkan kerajaan sendiri tidak tahu siapa yang akan terus menikmati petrol murah apabila subsidi dihapuskan untuk RON95 tahun depan.

Isham Jalil, ahli Majlis Tertinggi Umno yang dipecat tahun lepas kerana mengkritik presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun Putrajaya mahu mengurangkan bilangan mereka yang menerima subsidi, "T15" masih merujuk kepada kira-kira lima juta rakyat.

Sebelum ini, pendapatan isi rumah di Malaysia dibahagikan kepada tiga golongan, bermula dengan 20% (T20) yang diletakkan di kategori paling tinggi, diikuti golongan berpendapatan sederhana (M40) dan golongan berpendapatan rendah B40.

Klasifikasi itu digunakan sebagai panduan kepada pembuat dasar dalam menggubal polisi ekonomi serta memahami keadaan sosio-ekonomi.

Enam bulan selepas pelantikannya sebagai menteri ekonomi, Rafizi Ramli mengumumkan klasifikasi itu akan dimansuhkan secara berperingkat kerana kerajaan akan menumpukan kepada pendapatan bersih isi rumah, sebagai persediaan menjelang penghapusan subsidi yang menjadikan harga barang keperluan di Malaysia rendah selama beberapa dekad.

Bagaimanapun, klasifikasi baharu itu pertama kali dibayangkan Anwar dalam ucapan belanjawannya minggu lalu, apabila merujuk kepada 85% yang menurutnya akan menikmati subsidi petrol, di mana 15% dikecualikan kerana dianggap golongan berpendapatan tinggi.

Ia diikuti oleh Rafizi yang berkata golongan baharu "T15" akan didefinasikan dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti pendapatan bersih isi rumah, lokasi dan jumlah perbelanjaan untuk mencapai kualiti hidup yang selesa.

"Pakar-pakar dalam kerajaan ini pun tak faham definisi T15. 

"Sekiranya Rafizi ingin menukar definisinya, tetap lima juta orang yang perlu menanggung kenaikan tersebut," kata Isham.

Setakat 2022, Jabatan Perangkaan mentakrifkan golongan berpendapatan tinggi sebagai isi rumah dengan pendapatan bulanan RM13,295 ke atas.

Isham berkata golongan itu tidak boleh dilabel sebagai "maha kaya", istilah yang sering digunakan Anwar untuk mempertahankan dasar pemansuhan subsidi.

"Jika suami isteri masing-masing bergaji RM7,000 dan mempunyai empat anak dan tinggal di bandar, mereka mungkin kategori miskin bandar sebenarnya," kata Isham.

Dalam belanjawan minggu lalu, kerajaan memperkenalkan beberapa siri cukai baharu di samping memperluaskan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dengan memasukkan barangan yang dianggap dibeli golongan kaya, di mana Anwar memberikan buah avokado dan ikan salmon sebagai contoh.

Isham berkata kerajaan hanya mahu menambah pendapatan tanpa memikirkan impak dan kesan jangka panjang terhadap rakyat menerusi penyasaran semula subsidi.

"Kerajaan tambah hutang kemudian potong subsidi dan perkenalkan cukai-cukai baru. Mereka mendabik dada kata ini belanjawan paling besar dalam sejarah tetapi membebankan rakyat. Ini pengurusan ekonomi yang tak betul," katanya.

Isham berkata hutang yang dibuat kerajaan Anwar hampir menyamai paras hutang semasa negara dilanda Covid-19 empat tahun lepas. 

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Anwar membayar hutang baharu menurun daripada kira-kira RM100 bilion kepada lebih RM90 bilion (2023) seterusnya dianggar RM85 bilion (2024) dan RM80 bilion (2025).

"Sepatutnya hutang diturunkan pada kadar sebelum Covid-19 iaitu sekitar RM50-60 bilion. Ini tidak, dia (Anwar) kekalkan hutang yang tinggi walaupun tiada Covid-19.

"Sebelum tahun 2018, hutang kerajaan adalah RM600 bilion tetapi dalam masa enam tahun sahaja, sudah naik kepada RM1.2 trilion iaitu kenaikan sekali ganda. Daripada jumlah itu, Anwar menambah hampir RM200 bilion dalam tempoh dua tahun," katanya.



Sumber | MalaysiaNow 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo