KUALA LUMPUR: Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa bermula pada hari ini (12 Oktober) menyaksikan orang ramai kini berkumpul di Masjid Al-Syakirin KLCC, di sini terlebih dahulu sebelum memulakan perarakan ke Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak dalam jangkaan pada jam 2 petang ini.

Orang ramai sudah mula berkumpul sambil menunggu di dalam kawasan Masjid Al-Syakirin bagi menunjukkan tanda solidariti bersama-sama rakyat Palestin.

Ikuti dari semasa ke semasa Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa pada hari ini. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir dan Muhammad Zharif Zulkiflee)

4.03 petang: Selepas selesai bacaan doa membela rakyat Palestin daripada Ahli Parlimen Jasin merangkap Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail, maka tamatlah Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa pada hari ini.

3.40 petang: Presiden PAS, Tan Sri Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan kepada peserta himpunan. Turut kelihatan di samping Tuan Guru Abdul Hadi ialah mantan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

2.50 petang: Orang ramai telah pun sampai dan berkumpul di hadapan bangunan Alps, berhampiran dengan Kedutaan Amerika Syarikat. Kelihatan hadir ialah barisan kepimpinan PAS termasuk Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden PAS, Datuk Seri Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya; Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari; Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali; Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden; Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi; dan ramai lagi.

2.20 petang: Perarakan orang ramai ke Kedutaan Amerika Syarikat dari Masjid al-Syakirin, KLCC bermula, disertai dengan bacaan selawat.

1.45 petang: Sebelum memulakan perarakan ke Kedutaan Amerika Syarikat, Ahli Parlimen Sik, Tarmizi Sulaiman mengadakan pidato sebagai penaik semangat kepada orang ramai yang menyertai Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa ini.

1.35 petang: Orang ramai mula bergerak untuk perarakan ke Kedutaan Amerika Syarikat dari Masjid Al-Syakirin KLCC, sambil memegang bendera Palestin

1.30 petang: Para anggota Unit Amal Malaysia dan orang ramai serta turut kelihatan Nadzir Helmi selepas selesai solat Zohor di Masjid Al-Syakirin, KLCC.

12.52 tengah hari: Ketua Operasi Sekretariat Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi hadir di Masjid Al-Syakirin KLCC. Pada ketika ini, jumlah orang ramai yang hadir bagi menyertai Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa pada hari ini dianggarkan mencecahkan lebih 100 orang.

Sekumpulan Muslimat sedang berehat di dalam Masjid Al-Syakirin KLCC sebelum menunggu masa untuk perarakan ke Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sempena Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa pada hari ini, 12 Oktober 2024.

12.20 tengah hari: Semakin ramai orang sudah mula berkumpul di dalam Masjid Al-Syakirin berbanding dengan sebelum ini. Pada masa yang sama, sebahagian Unit Amal sudah mula bergerak keluar dari kawasan masjid untuk menuju ke kawasan checkpoint masing-masing.

Orang ramai tidak ketinggalan membeli barangan dan makanan serta minuman yang dijual digerai-gerai sempena Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa berhampiran Masjid Al-Syakirin KLCC, Kuala Lumpur.
Orang ramai mula berkumpul di sekitar di Masjid Al-Syakirin KLCC pada hari ini, 12 Oktober 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)