NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sempena setahun genosid Gaza, Anwar diingatkan jangan berlembut mengenai Palestin

Mohd Azmi Abdul Hamid (tengah, bersongkok) bersama Hishamuddin Rais (kiri) dan aktivis lain menunjukkan memorandum mengutuk bantuan AS kepada Israel. Azmi berkata salinan memorandum itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.



Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa supaya lebih tegas menunjukkan bantahan terhadap sokongan Washington kepada Israel, ketika rakyat Malaysia hari ini berkumpul berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bagi memperingati ulang tahun pertama kempen pengeboman di Gaza yang setakat ini mengorbankan lebih 40,000 orang awam.

Seorang pemimpin mewakili pertubuhan Islam berkata adalah penting bagi Anwar menggunakan setiap peluang untuk menjelaskan kedudukan Malaysia, termasuk semalam ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS Anthony Blinken yang hadir pada Sidang Kemuncak Asean di Laos.

Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, menggesa Anwar supaya tidak berkompromi dengan Gaza walaupun Malaysia mahu meneruskan hubungan perdagangannya dengan AS.


"Kerana AS kini satu-satunya negara penyokong Israel yang besar. Jadi Malaysia kena bagi isyarat itu," katanya, sambil menambah Malaysia harus lebih lantang menentang kekejaman Israel selari dengan kedudukannya sebagai pengerusi Asean mulai tahun depan.


Kenyataan itu mencerminkan rasa kurang senang semakin meningkat di kalangan kumpulan pro-Palestin tempatan di sebalik persepsi Putrajaya semakin lembut pendiriannya mengenai perang Israel ke atas Gaza, walaupun pada peringkat awal konflik menyaksikan Malaysia lantang mengutuk Washington dan kuasa Barat lain yang membantu rejim Zionis.

Isu paling utama ialah keengganan Anwar untuk membatalkan rancangannya untuk menjual 30% kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings (MAHB) - syarikat milik kerajaan yang menguruskan lapangan terbang di seluruh negara - kepada Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat milik BlackRock, gergasi pelaburan AS yang berdepan tuduhan bersubahat dalam jenayah perang Israel.

Anwar sebelum in berkata kerajaan tidak akan memutuskan hubungan dengan syarikat yang rapat dengan Israel walaupun mengambil dasar menyokong perjuangan Palestin.

"Bagaimana dengan syarikat yang ada operasi di US, Jerman, China tapi ada kaitan dengan Israel? Tak ada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkan kerana akan menjejaskan ekonomi negara," katanya pada Jun lalu, mengundang kecaman pelbagai pihak.


Tunjuk perasaan hari ini merupakan satu daripada tiga himpunan yang dirancang oleh kumpulan pro-Palestin selama tiga hari berturut-turut untuk memperingati permulaan serangan Israel dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di samping menyatakan solidariti dengan Iran dan Lubnan yang turut diheret ke dalam konflik tersebut.

Sementara itu, penunjuk perasaan gagal menyerahkan memorandum kepada kedutaan AS, yang antara lain mengutuk sokongan Washington terhadap jenayah Israel, selepas mereka tidak dibenarkan menghampiri pintu masuk kedutaan.


Pihak kedutaan juga tidak menghantar wakil untuk menerima memorandum tersebut.

"Kita nyatakan dalam memorandum AS mesti hentikan bekalan senjata, hentikan subahat, dan melaksanakan resolusi Palestin," kata Azmi pada perhimpunan hari ini, yang turut dihadiri parti politik, NGO Islam dan pertubuhan mahasiswa.

Menurutnya, salinan memorandum itu akan diserahkan kepada Anwar dan Kabinet.


Seperti perhimpunan anti-Israel sebelum ini, pihak polis melarang peserta berkumpul di hadapan kompleks Kedutaan AS, tindakan yang mengundang kecaman peguam Rafique Rashid.

"Kita anggap negara kita merdeka dan berdaulat. Kita anggap negara kita sebagai negara yang melawan Israel, tetapi lihatlah rakyat Malaysia dihalang daripada datang ke negara AS," kata Rafique, yang juga ketua penerangan parti Pejuang, dalam ucapannya kepada peserta himpunan.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia meneruskan boikot terhadap produk dan jenama yang dianggap pro-Israel.



Sumber | MalaysiaNow 















........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo