KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, RSN Rayer bimbang rakyat tidak akan memaafkan Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan itu menerima permohonan maaf bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Ahli Parlimen Jelutong itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang isu dengan UMNO, malah mempertahankan parti itu di Parlimen serta turut berkempen untuk UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota baru-baru ini.
Selain itu, katanya, beliau juga menghormati UMNO kerana parti itu kini adalah rakan gabungan PH dalam kerajaan dan sama-sama bekerja keras untuk memenangi kerajaan hari ini.
Dalam masa sama, ujarnya, beliau juga mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memimpin negara sebagai Perdana Menteri untuk lebih banyak penggal pada masa depan.
“Saya memuji dan menghargai Perdana Menteri atas kerendahan hati dan belas ehsannya dalam menerima permohonan maaf Datuk Seri Najib Tun Razak atas skandal 1MDB.
“Ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri adalah seorang negarawan hebat meskipun telah melalui begitu banyak kesulitan dan tekanan.
“Adakah Najib Tun Razak akan melakukan perkara yang sama jika keadaan sebaliknya berlaku?” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Media hari ini melaporkan, Anwar menerima baik pemohonan maaf secara terbuka yang dibuat Najib berhubung isu penyelewengan dana 1MDB.
Semalam, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia berhubung salah laku yang berlaku dalam 1MDB semasa beliau memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Dalam kenyataan yang dibaca anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.
Sementara itu, Rayer dalam kenyataannya turut mempersoalkan sama ada permohonan maaf oleh Najib dapat membatalkan penahanan peguam Matthias Chang dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ketika mereka mahu ke luar negara untuk mengumpul bukti tentang skandal 1MDB.
Selain itu, beliau juga mempersoalkan sama ada permohonan maaf Najib dapat membatalkan tekanan yang dialami oleh Tony Pua dan Ahli Parlimen DAP lain, termasuk laporan polis dan saman sivil yang banyak difailkan terhadap mereka ketika mereka bersuara untuk rakyat Malaysia tentang skandal 1MDB.
Dalam masa sama, beliau turut bertanyakan sama ada permohonan maaf oleh Najib dapat membatalkan berjuta-juta ringgit dalam bentuk pinjaman yang masih perlu dibayar oleh kerajaan hari ini.
“Adakah permohonan maaf oleh Najib dapat membatalkan penahanan Marina Chin, Mandip, Adam Adli dan ramai lagi pemimpin Bersih yang turun ke jalan untuk membantah dan menuntut penahanan Najib ketika itu?
“Adakah permohonan maaf oleh Najib dapat membatalkan pelbagai ketidakadilan yang dialami oleh rakyat biasa sehinggalah kepada Peguam Negara yang dipecat sebelum Apandi Ali dilantik?
“Adakah permohonan maaf itu dapat menghilangkan tekanan mental dan emosi yang dialami oleh ramai daripada kita termasuk Tan Sri Lim Kit Siang yang baru-baru ini disaman oleh Apandi Ali berkaitan skandal 1MDB?” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment