GEORGE TOWN - Kerajaan Perpaduan diminta supaya mempertimbangkan semula keputusan penyasaran subsidi petrol RON95, terutama ketika ekonomi negara masih lembap bagi mengelakkan lonjakan kos sara hidup rakyat.
Timbalan Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Oh Tong Keong berkata, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 menjelang pertengahan tahun depan dilihat bakal memberikan impak besar kepada rakyat.
Tong Keong berkata, beliau bimbang keputusan itu akan menyebabkan kenaikan harga dalam pelbagai sektor terutamanya sektor pengangkutan dan logistik, yang akhirnya menambah beban kehidupan rakyat.
"Ketika kos sara hidup sudah terlalu tinggi, penyasaran subsidi petrol RON95 hanya akan menambah tekanan kepada rakyat. Ini bukan masanya untuk menarik balik subsidi yang amat diperlukan.
"Walaupun Anwar menyatakan bahawa 85 peratus rakyat tidak akan terjejas dengan penyasaran subsidi ini, namun saya percaya, secara tidak langsung semua lapisan masyarakat pasti tidak dapat mengelak daripada kesan kenaikan harga barang selepas dasar ini dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Anwar memberi jaminan 85 peratus rakyat terdiri daripada golongan B40, M40 dan penjawat awam tidak akan terjejas dengan penyasaran subsidi petrol RON95 yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025, pada Jumaat.
Anwar berkata, langkah penyasaran subsidi petrol itu sebagai usaha supaya bahan api itu hanya digunakan rakyat dan bukan golongan mahakaya serta warga asing di negara ini.
Dalam pada itu, Tong Keong turut mempersoalkan keberkesanan penguatkuasaan dasar tersebut apabila ia dilaksanakan kelak.
"Perdana Menteri mendakwa bahawa warga asing dan 15 peratus pengguna berpendapatan tinggi telah memanfaatkan 40 peratus daripada subsidi petrol RON95.
"Persoalannya, sejauh mana keberkesanan penguatkuasaan dasar ini kerana kita bimbang, akan ada golongan yang tidak layak masih boleh mengambil kesempatan melalui kelemahan penguatkuasaan, seperti menggunakan identiti orang lain untuk membeli petrol bersubsidi," ujarnya.
Tong Keong juga meminta penjelasan bagaimana kerajaan boleh memastikan penyasaran subsidi tersebut dilaksanakan dengan adil.
"Bagaimana kerajaan akan memastikan penyasaran subsidi ini dilaksanakan dengan adil? Mereka yang tidak layak masih boleh meminta orang lain membeli petrol bagi pihak mereka, termasuk warga asing yang berpotensi mendapat manfaat secara tidak sah.
"Apa yang membimbangkan, sebaik sahaja penyasaran subsidi ini dikuatkuasakan, inflasi baharu akan melanda negara, sekali gus membebankan semua lapisan masyarakat.
"Bagaimana kerajaan boleh mengatakan 85 peratus rakyat tidak akan terjejas apabila inflasi berlaku? Kesan rantaian daripada dasar ini tidak dapat dielakkan," tambahnya.
Oleh demikian, Tong Keong memohon kerajaan supaya meneliti semula keputusan itu dan mengekalkan subsidi petrol RON95, demi memastikan kos sara hidup rakyat tidak terus meningkat ketika ketidaktentuan ekonomi yang berpanjangan.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment