NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penyasaran subsidi RON95: Jangan ulang taktik ‘kejutkan rakyat’

PM Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi RON95 mulai pertengahan tahun depan, yang menurutnya, tidak akan menjejaskan 85% rakyat.



KUALA LUMPUR
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta kerajaan supaya tidak mengulangi taktik ‘kejutan’ terhadap rakyat dalam pelaksanaan penyasaran subsidi RON95, yang dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun depan.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, taktik seperti yang digunakan ketika penyasaran subsidi diesel sebelum ini adalah lapuk dan jelas gagal.

“Ingat pendaftaran Budi Madani, kerajaan kata tiada golongan tercicir, namun realitinya, sehingga hari ini lebih 15% orang yang layak masih tidak dapat mendaftar. Itu hanya diesel, mungkin tak ramai orang guna.

“Bayangkan RON95, (sektor) kesihatan, sekolah, universiti dan lagi ramai guna. Sebab itu jangan guna taktik nak kejutkan rakyat. Kalau tak, akhirnya (nanti) kamu terkejut jika rakyat menghukum,” katanya ketika perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, sehingga hari ini, masih tiada maklumat terperinci mengenai sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

“Dua tahun kita tunggu, sampai hari ini masih tak tahu sudah siap atau tidak, apa kesan dan bagaimana perinciannya. Lagi lama kita menunggu, lagi lama rakyat gelisah.

“Ini masalahnya apabila kita umum dulu, fikir kemudian. Rakyat sudah dengar apa yang bakal mereka hilang dan jadi banyak fikir,” katanya.

Terdahulu, bekas presiden Muda itu mempersoalkan mengapa kumpulan pendapatan teratas T15 disebut dalam pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lepas, sedangkan takrifannya masih belum dimuktamadkan.

Bagaimanapun, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, belanjawan akan mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan sekiranya setiap butiran perlu diperincikan sebelum dibentangkan.

Katanya, Syed Saddiq yang pernah menjadi menteri sepatutnya maklum mengenai perkara ini sebelum mengkritik.

Ketika membentangkan belanjawan persekutuan Jumaat lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi RON95 mulai pertengahan tahun depan, yang menurutnya, tidak akan menjejaskan 85% rakyat.

Beliau turut memberi bayangan subsidi disasarkan dalam pendidikan awam, sekali lagi menyebut golongan 15% pendapatan teratas, serta dalam penjagaan kesihatan.



Sumber | FMT Malaysia 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo