Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim (kiri) melawat Muhammad Ammar Danish di Hospital Dungun jam 11 pagi pada Ahad. |
DUNGUN - Suami kepada wanita yang disyaki merempuh dua motosikal sehingga menyebabkan tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun di sini maut dalam kemalangan pada Rabu lalu merakam rasa syukur kerana ada dalam kalangan keluarga mangsa memaafkan isterinya.
Azhar Ahmad, 53, mengakui dirinya diselubungi rasa bersalah, namun ingin merakam rasa syukur dan terima kasih tidak terhingga kepada mereka yang menyatakan telah memaafkan kesalahan isterinya itu.
"Walaupun ujian ini terlalu berat buat mereka, saya bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa dan keluarga mangsa yang berlapang dada sudi memaafkan isteri saya,"katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Majistret Dungun di sini pada Ahad.
Azhar hadir ke mahkamah itu bersama anak dan cucunya bagi proses sambung tahanan reman selama dua hari terhadap isterinya itu.
Menurut Azhar, dia juga telah bertemu dan menzahirkan permohonan maaf kepada ibu dan bapa penuntut yang terselamat dalam insiden itu iaitu Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20.
Katanya, pertemuan bersama pelajar dan keluarganya itu berlangsung kira-kira jam 9 malam pada Sabtu berhampiran penginapan keluarga itu.
Bapa kepada tiga anak dan empat orang cucu itu berkata, dia turut berterima kasih kepada pihak UiTM yang sudi menjadi pemudah cara untuk mengaturkan pertemuannya dengan keluarga mangsa terlibat.
Jelasnya, dia telah bertemu dengan Muhammad Ammar Danish di Hospital Dungun, sebelum dia dibawa pulang ke kediamannya di Keramat, Kuala Lumpur.
"Semalam (Sabtu), bila saya dapat tahu Muhammad Ammar Danish dapat keluar dari wad hari ini, saya terus bergegas mencari ahli keluarganya kerana bimbang tidak sempat bertemu mereka.
"Alhamdulillah, saya telah bertemu dengan ibu dan bapa Muhammad Ammar Danish dan mereka menyambut saya dengan sangat baik serta memaafkan apa yang berlaku," katanya.
Selain itu, kontraktor pendawaian itu berkata, dia menunggu masa yang sesuai untuk bertemu keluarga Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; Khairil Anwar Jamaludin, 20 serta Muhammad Akmal Md Tukirin, 25.
"Saya kesal dengan kejadian ini, namun apa yang berlaku bukanlah kehendak saya dan isteri.
"Saya faham kesemua ahli keluarga perlu diberikan ruang untuk bertenang kerana ujian ini sungguh berat.
"Saya akan menunggu masa yang sesuai dan berusaha untuk bertemu mereka," ujarnya.
Menceritakan latar belakang isterinya, Azhar berkata, isterinya mula berubah akibat koma selama empat hari selepas kandungan anak keempat mereka terpaksa dibuang kerana hamil di luar rahim.
Katanya, wanita berusia 49 tahun itu mengalami kemurungan dan sering bercakap sendirian sejak 10 tahun lalu.
Menurut Azhar, sebelum ini isterinya pernah memberitahu bercakap dengan seseorang dan ketika kejadian dia turut membawa dua pasang kasut dan beberapa helai pakaian.
"Hari kejadian itu, saya telah sorok kunci kereta dan telah menutup pagar dan pintu rumah. Namun, tak tahu bagaimana isteri saya boleh jumpa kunci itu.
"Waktu kejadian, dia (isteri) keluar dari rumah ketika saya dan anak lelaki sedang menunaikan solat Maghrib," katanya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment