Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa kerajaan meneliti semula cadangan pindaan perlembagaan membabitkan kewarganegaraan, dan mempersoalkan beberapa kelemahan yang bakal menafikan kebajikan kanak-kanak dan wanita.
Muhyiddin berkata pindaan tersebut menafikan hak kewarganegaraan kepada anak-anak golongan pemastautin tetap yang lahir di Malaysia, sambil mengingatkan perkara itu dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Mana-mana pindaan perlembagaan yang melibatkan rampasan atau penafian hak sedia ada yang dijamin oleh perlembagaan bukanlah suatu perkara kecil.
"Justeru, atas dasar perikemanusiaan dan penghormatan terhadap hak individu yang dijamin oleh perlembagaan, apatah lagi yang melibatkan hak kanak-kanak, saya berharap kerajaan menimbang semula cadangan pindaan ini," menurut teks ucapan penuh pengerusi Perikatan Nasional itu semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution untuk bacaan kali kedua hari ini.
Muhyiddin yang pernah menjadi menteri dalam negeri di bawah pentadbiran pertama Pakatan Harapan mahu jaminan kebajikan anak-anak pemastautin tetap yang akan terkesan dengan pindaan ini.
Menerusi pindaan itu, kewarganegaraan secara automatik, atau melalui kuatkuasa undang-undang, akan diberikan kepada individu yang lahir dalam negara yang mana ibu atau bapanya adalah seorang warganegara.
Bagaimanapun, pindaan itu menggugurkan pemastautin tetap daripada menerima kerakyatan Malaysia untuk anak-anak mereka secara kuatkuasa undang-undang.
Pindaan perlembagaan yang memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen itu dicantumkan bersama satu lagi pindaan yang dialu-alukan, iaitu memberikan wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing hak sama rata dalam hal kewarganegaraan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara.
Namun, apa yang menjadi fokus bantahan ialah pindaan untuk menghapuskan pemberian kerakyatan secara automatik kepada bayi terbiar atau anak yatim yang dilahirkan di negara ini, yang ibu atau ibu bapanya tidak dapat dikesan.
Di bawah pindaan itu, nasib mereka yang sebelum ini berhak mendapat kerakyatan terletak di bawah budi bicara menteri dalam negeri.
Pengkritik memberi amaran sekiranya peruntukan kewarganegaraan itu dihapuskan, ia akan mengeluarkan jaringan keselamatan terhadap anak yatim dan kanak-kanak lain yang dinafikan kewarganegaraan, seterusnya mewujudkan sebuah kelas baru golongan tanpa kerakyatan.
Jaringan keselamatan itu menjadi asas kepada kes dibawa seorang remaja tanpa kerakyatan pada 2021, di mana Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan empat hakim Mahkamah Persekutuan mengarahkan kerajaan mengeluarkan sijil kelahiran baharu dan mendaftarkannya sebagai warga negara.
Susulan tekanan pelbagai pihak, kerajaan pada Mac lalu menggugurkan dua cadangan pindaan berkaitan pemberian kewarganegaraan kepada bayi terdampar, kanak-kanak tanpa kerakyatan dan anak tidak sah taraf.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh bagaimanapun menyambut baik pindaan yang memperuntukkan hak kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan yang mana ibunya merupakan seorang warganegara.
Sebelum pindaan tersebut, wanita rakyat Malaysia yang telah berkahwin dengan lelaki bukan warganegara dan melahirkan anak di luar negara berdepan kesukaran dalam mendapatkan kerakyatan untuk anak mereka.
Sementara itu, Muhyiddin turut mempersoalkan pindaan terhadap had umur pemohon kerakyatan di bawah Perkara 15A, di mana ia dicadang diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Perkara 15A menyentuh kuasa mutlak dan budi bicara menteri untuk meluluskan permohonan kewarganegaraan Malaysia bagi mereka yang berumur di bawah 21 tahun dalam situasi khas, seperti dalam kes melibatkan kanak-kanak terdampar yang lahir dan membesar sebagai rakyat tetapi masih tidak diiktiraf kerakyatan mereka.
Menurutnya, permohonan di bawah Perkara 15A mengambil masa lama untuk diluluskan, di samping banyak permohonan ditolak dan pemohon terpaksa memohon semula.
Ini, katanya, akan menyebabkan ramai pemohon tidak layak memohon di bawah Perkara 15A.
"Maka saya berpandangan had umur 21 tahun yang sedia ada di dalam Perlembagaan Persekutuan pada masa ini wajar dikekalkan. Kecualilah jika pihak KDN dapat memberikan suatu jaminan bahawa semua permohonan di bawah Perkara 15A akan dibuat secara fast track untuk mengelakkan pemohon yang layak terlepas peluang untuk memohon disebabkan penurunan had umur ini."
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut membangkitkan kritikan serupa, termasuk dalam mengeluarkan anak pemastautin tetap daripada mendapat kerakyatan automatik.
Syed Saddiq memberi amaran, langkah itu akan melahirkan satu generasi baru tanpa kewarganegaraan.
"Jangan paksa kita menerima segala-galanya, yang baik boleh kita terima yang tidak baik boleh kita bangkang supaya boleh diteliti dan ditambah baik," katanya sambil menambah gesaannya membawa suara lebih 112 pertubuhan dan lebih 80 individu berpengaruh yang terlibat membantu golongan wanita, orang miskin dan Orang Asal.
Syed Saddiq berkata kerajaan perlu menangguhkan terlebih dahulu segala pindaan yang bersifat regresif selagi pihak kementerian belum dapat memperincikan dasar perlindungan (safeguard policy) yang lebih baik.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim pula bimbang golongan ibu dan anak-anak bakal berdepan proses birokrasi di pejabat kerajaan sekiranya RUU itu diluluskan.
Menyentuh pindaan untuk menurunkan had umur daripada 21 kepada 18 tahun bagi permohonan Perkara 15A, Hasan berkata kebanyakan kes masih belum selesai selepas beberapa tahun.
"Kalau boleh betul-betul ibu bapa PR ini tiada negara lain, kita bagi la 'operation of law' kepada anak mereka supaya kita tidak menghadapi masalah generasi akan datang, tanpa kerakyatan.
"(Contohnya) anak-anak Orang Asli, orang India yang dulu bergenerasi di estet dan orang asal ini. Sebab pendaftaran itu kita fahamlah, tapi banyak dia punya birokrasinya.
"Itu satu kebimbangan."
Sumber | MalaysiaNow
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment