NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Memang wajar Ong tak puas hati dengan DAP, kata bekas pemimpin

Ronnie Liu menganggap ia membimbangkan apabila DAP gagal bersuara mengenai isu melibatkan hak asasi manusia, bangsa, agama dan kepentingan awam.



PETALING JAYA
Seorang bekas pemimpin DAP berkata rasa tidak puas hati disuarakan bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming terhadap parti itu sesuatu yang sah dan wajar.

Ronnie Liu menyifatkan sebagai tidak wajar apabila isu dibangkitkan mengenai peruntukan berjumlah RM5.6 juta untuk kerja-kerja naik taraf jalan persekutuan di Bagan, iaitu kawasan Parlimen Pengerusi DAP Lim Guan Eng, selain tindakan mempersoal exco Pulau Pinang Zairil Khir Johari berhubung isu itu.

“Zairil tidak salah dalam hal ini. Ia melibatkan pembinaan jalan yang menghubungkan dua kawasan,” kata bekas exco jawatankuasa pusat DAP itu kepada FMT.

Lim baru-baru ini mendakwa RM1.4 juta daripada dana sebanyak RM5.6 juta yang diperuntukkan bagi kawasannya telah ‘dirampas’ untuk disalur ke Parlimen Tasek Gelugor, malah menurutnya ini kali kedua perkara itu berlaku.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan daripada Perikatan Nasional (PN), kemudian membidas dakwaan Lim itu dan menyoal sama ada kawasan pembangkang tidak patut dibangunkan.

Zairil kemudian berkata, RM5.6 juta itu sepatutnya untuk menaik taraf jalan yang menghubungkan dua kawasan berkenaan, iaitu RM4.2 juta untuk bahagian di Bagan manakala selebihnya di Tasek Gelugor. Naib pengerusi DAP negeri itu juga berkata, RM1.4 juta berkenaan telah ‘dipulangkan’ kepada Ahli Parlimen Bagan berkenaan.

Adun Bagan Dalam dan Bagan Jermal, K Kumaran serta Chee Yeeh Keen, bagaimanapun mempertikai respons Zairil dengan menyoal sama ada beliau cuba menutupi kelemahan pegawai yang bertanggungjawab, menurut laporan Malaysiakini.

Liu turut bersetuju dengan pendapat Ong bahawa DAP telah tersasar daripada prinsipnya, melihat kepada tindakan parti itu berdiam diri mengenai isu tertentu melibatkan hak asasi manusia, bangsa, agama, dan kepentingan awam secara umum.

“Saya faham sekiranya DAP mengambil pendirian lebih berlembut memandangkan ia kini sebahagian daripada kerajaan, tetapi untuk terus berdiam diri tidak boleh diterima. Tindakan seperti itu yang menyebabkan MCA lenyap.

“Orang ramai mengharapkan ahli politik DAP bersuara. Mereka sememangnya boleh memilih pendekatan lebih lembut, tetapi bukan berdiam diri seolah-olah tiada masalah langsung,” kata Liu yang meninggalkan DAP tahun lalu selepas 14 tahun menjadi ahli parti itu.

Kemelut peruntukan mampu gugat sokongan untuk DAP

Ahli sains politik Wong Chin Huat dari Sunway University memberi amaran bahawa kemelut berhubung peruntukan itu mampu mengakibatkan DAP kehilangan penyokong setianya, kerana ini bertentangan dengan imej parti itu sebagai pejuang demokrasi dan keadilan.

“Ini memberi gambaran buruk terhadap DAP malah mampu menjejaskan pangkalan penyokong liberalnya, yang secara umum lebih tegar dalam isu melibatkan kepentingan awam berbanding penyokong parti lain.”

Wong berkata, isu lebih besar dihadapi DAP adalah ini mungkin dilihat sebagai satu lagi serangan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Lim lantang mengkritik pelbagai isu di negeri itu sejak Chow dilantik untuk penggal kedua sebagai ketua menteri, termasuk cadangan mewujudkan zon kewangan khas di negeri itu, dan pembatalan penjualan tanah oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

“Pasti pemimpin DAP akan bimbang kerana tidak mahu melihat kejatuhan parti itu sepertimana Gerakan pada ambang pilihan raya umum 2008, ketika perbalahan dalaman melumpuhkan parti itu, mencetuskan kemarahan pengundi dan akibatnya menyebabkannya kalah teruk.”

Bagaimanapun, Wong berkata isu itu tidak mungkin menjejaskan penyatuan kerajaan persekutuan atau negeri untuk masa terdekat, memandangkan tiada pilihan raya kecil akan diadakan buat masa ini.




Sumber | FMT Malaysia 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo