NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan digesa tubuh suruhanjaya diraja siasat dakwaan PM arahkan SPRM tutup kes Farhash

Anwar Ibrahim berdepan gesaan untuk membersihkan namanya di mahkamah selepas laporan Bloomberg yang mendakwa beliau mencampuri urusan SPRM untuk menghalang siasatan terhadap bekas pembantunya Farhash Wafa Salvador


Kerajaan digesa menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan bahawa Anwar Ibrahim telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak menyiasat bekas pembantunya Farhash Wafa Salvador, dua hari selepas seorang peguam meluahkan kebimbangan polis tidak berupaya menyiasat atau menyoal perdana menteri atas salah guna kuasa.

Sayap pemuda Bersatu, Armada, membuat gesaan itu susulan laporan oleh Bloomberg minggu lalu, yang memetik sumber SPRM sebagai berkata Anwar telah mencampuri urusan badan anti-rasuah itu.

"Saya ingat perkara ini perlu diambil serius,” kata pengerusi Armada, Zahin Zainal.


"Ini berkaitan dengan diri dia sendiri, jadi kena lagi tegas daripada kenyataan semata-mata."

Terdahulu, Armada memfailkan laporan polis menggesa siasatan terhadap dakwaan yang terkandung dalam laporan Bloomberg pada 26 September.

Laporan itu memetik sumber sebagai berkata bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM telah memberitahu pegawainya mengenai arahan Anwar untuk tidak menyiasat Farhash berhubung kontroversi pembelian saham dalam sebuah syarikat yang dikaitkan dengan pembangunan sistem imigresen bernilai RM1 bilion.

Laporan itu juga mendakwa Anwar turut mengarahkan Azam memulakan siasatan terhadap bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan anak-anaknya.

Kedua-dua Pejabat Perdana Menteri dan SPRM telah menafikan dakwaan itu.

Pada Isnin, isteri Daim, Naimah Khalid memfailkan laporan polis menggesa Anwar disiasat kerana salah guna kuasa.

Bagaimanapun, peguam beliau mempersoalkan sejauh mana polis mampu menyiasat aduan itu dengan berkesan.


"Aduan itu kini disiasat seorang inspektor di Sentul. Tetapi aduan yang dibuat ini memerlukan PM disiasat. Bolehkah inspektor menyiasat PM? Tidak mungkin," kata Rajesh Nagarajan selepas menemani Naimah memberikan keterangannya pada Selasa.

Sementara itu, Zahin mengingatkan pihak berkuasa mengenai dua siasatan berasingan melibatkan bekas menteri sumber manusia V Sivakumar serta Mohammad Agus Yusoff, bekas ketua pengarah Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-KOM), unit propaganda kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sivakumar pernah dipanggil SPRM berhubung dakwaan rasuah melibatkan pengambilan pekerja asing.

Agus, yang meletak jawatan pada November tahun lepas sejurus selepas tersebar sebuah video menunjukkan dia dan salah seorang pegawainya dalam perbualan tidak senonoh, disiasat atas kesalahan gangguan seksual.

Awal tahun ini, polis mengumumkan kertas siasatan kes Agus telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada Disember tahun lepas.

Zahin berkata sejak itu, status kedua-dua kes itu masih tidak diketahui.

"Peguam negara pun kena beri penjelasan mengapa tiada pendakwaan dibuat. Adakah kerana tiada salah laku dalam kes ini atau bagaimana?"



Sumber | MalaysiaNow







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo