NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenapa hutang UTAR RM83 juta dikecualikan cukai ?

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani memberikan pengecualian cukai kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang berhutang RM83 juta dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), menimbulkan persoalan mengenai keadilan dalam pengurusan kewangan negara.

Penganalisis politik, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, senario ‘pelik’ itu berlaku setelah kerajaan menarik pelbagai subsidi dan skim pencen dengan alasan kekurangan dana. 

Beliau mendakwa, tindakan itu menunjukkan sikap tidak konsisten dalam dasar kewangan kerajaan, terutama bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berisiko didakwa.
“Mesti kita masih ingat, baru-baru ini Kerajaan Madani kata akan dakwa di mahkamah peminjam PTPTN yang gagal bayar balik pinjaman. 

“Sejak Kerajaan Madani mentadbir negara, pelbagai subsidi ditarik dengan alasan kerajaan tak ada duit. 

“Kerajaan Madani juga hapuskan skim pencen dengan alasan kerajaan tak ada duit nak tanggung bayaran pencen.

“Tiba-tiba muncul isu Kolej UTAR yang mewah, kaya, kampus besar, pelajar ramai, tapi berhutang dengan LHDN cukai dan denda RM83 juta, eh boleh pula diberi pengecualian cukai. 
“Banyak pula duit kerajaan?” soal beliau.

Dakwa beliau lagi, Kolej UTAR tidak membayar cukai bukan kerana masalah kewangan, tetapi kerana menganggap mereka layak untuk dikecualikan cukai tanpa kelulusan rasmi. 

“Kolej UTAR berpendapat status mereka sebagai Yayasan membolehkan pengecualian tersebut,” dakwa Nurul Islam.

“Persoalannya, jika kolej swasta lain meminta pengecualian cukai, adakah Perdana Menteri akan memberikan kelulusan khas yang sama?” 

“Jika 430,000 peminjam PTPTN yang akan didakwa membuat rayuan kepada Perdana Menteri, adakah mereka akan diberikan pengecualian?

“Satu lagi sebab apa Anthony Loke pula yang isytihar pengumuman Kerajaan akan hapuskan tunggakan cukai dan denda tu? Power betul Anthony Loke dalam Kerajaan Madani ni ya,” soalnya lagi sambil menyatakan dalam nada sinikal.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun MCA menguasai Lembaga Pengarah UTAR, DAP mengambil kesempatan untuk menunjukkan kepada masyarakat Cina bahawa mereka mampu menyelesaikan masalah UTAR. 

Menurutnya, itu menggambarkan persaingan politik antara MCA dan DAP, namun, penjaga kunci Kementerian Kewangan dilihat sebagai pihak yang terpaksa mengikut arahan.

“Sebenarnya mereka dah lama rancang, kita sahaja yang lalai,” katanya. 
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim  dilaporkan memutuskan untuk melepaskan Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) daripada pertikaian cukai dan dendanya.

Laporan Sin Chew Daily yang memetik sumber yang menyatakan tunggakan cukai dan denda berjumlah RM83 juta yang dituntut LHDN ke atas Utar akan dihapus kira.

Menurut laporan itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika ditanya berkenaan perkara itu berkata, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican untuk menghantar surat kepada Yayasan Pendidikan Utar (Utaref) bagi memaklumkan perkara itu.
Loke dalam kenyataannya berkata, surat itu akan dihantar tidak lama lagi.

Pada minggu sebelum itu pula, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dalam kenyataannya menyatakan bahawa menurut LHDN, UTAR  tidak diberikan status pengecualian cukai, tidak seperti Utaref yang mendapat pengecualian itu pada 1 Julai 2003 mengikut Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sumber | HARAKAHDAILY

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo