KUALA LUMPUR: PAS memandang serius kehadiran kapal tentera laut China di Pulau Pinang baru-baru ini, terutama dalam konteks kedaulatan dan keselamatan negara.
Ketua Penerangannya, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkembangan itu menimbulkan kebimbangan yang wajar dalam kalangan rakyat, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kehadiran ketenteraan asing di perairan negara.
“Sebagai negara berdaulat, Malaysia mesti sentiasa memastikan bahawa sebarang bentuk interaksi dengan pihak asing, terutamanya dalam hal ketenteraan, dilakukan dengan telus dan mengikut peraturan serta undang-undang antarabangsa.
“Kehadiran armada tentera laut China ini perlu dijelaskan secara menyeluruh kepada rakyat untuk mengelakkan sebarang kekeliruan atau ketidaktentuan mengenai keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Oleh itu menurutnya, PAS menggesa agar satu siasatan khusus dijalankan secara bersama oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, siasatan perlu menjelaskan tujuan kehadiran armada tentera laut China di Pulau Pinang dan sama ada kebenaran rasmi telah diberikan.
Beliau berkata, ia juga harus menilai impak keselamatan negara dari aktiviti ketenteraan asing di perairan Malaysia.
Selain itu katanya, penting untuk meneliti bagaimana hal itu mempengaruhi persepsi antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia menjaga kedaulatannya dan ia menjadi lebih kritikal dengan ketegangan yang meningkat di rantau Asia Tenggara.
Menurut beliau, PAS menegaskan bahawa keputusan strategik dan keselamatan negara mesti dibuat dengan teliti dan telus demi kepentingan rakyat dan kedaulatan Malaysia.
“Kami menyeru pihak kerajaan untuk segera memberikan penjelasan kepada rakyat dan memastikan insiden ini tidak berulang tanpa kawalan yang jelas.
“PAS akan terus memantau situasi ini dan menantikan hasil siasatan yang bakal dijalankan.
“Keselamatan negara dan kedaulatan wilayah adalah perkara yang tidak boleh dipandang enteng, dan kita harus memastikan bahawa Malaysia kekal dihormati di mata dunia,” katanya.
Sumber | HARAKAHDAILY
share & sebarkan:
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment