NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kedaulatan negara semakin tercalar, DAP cuba normalisasikan isu kibar bendera negara asing




KUALA LUMPIUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelbagai insiden yang berlaku kebelakangan ini mencetuskan rasa kurang senang rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.

Menurutnya, bermula dengan insiden sembilan institusi pendidikan Cina yang menolak inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyelaraskan silibus Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular, lawatan tentera China ke sekolah di Pulau Pinang, kini muncul pula insiden mengibar bendera negara China di Perak.

“Rasa marah dan kurang selesa rakyat bertambah dengan sikap pimpinan DAP yang pantas membela serta tindakan kerajaan yang agak berlembut terhadap isu-isu ini.

“Atas apa alasan sekalipun, kerajaan Madani mesti membendung situasi ini dengan mengambil tindakan segera kepada penganjur,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, tegasnya jangan cuba normalisasikan segala tindakan itu dan menganggap ianya selesai melalui tindakan meminta maaf tanpa siasatan dan tindakan tegas.

Sebaliknya, kata beliau ia tidak berlaku sebegitu jika dilakukan oleh pihak pembangkang.

Katanya lagi, perlu disedari bahawa isu yang berlaku itu bukan sekadar isu bendera sahaja, malahan ia sebenarnya gambaran ‘kesetiaan’ kepada negara.

“Perbuatan membela dan mendaulat negara asing berbanding negara sendiri adalah suatu tindakan yang sepatutnya dikecam oleh rakyat Malaysia,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. 

Tambahnya, DAP pantas bangkit membela dan mempertahankan kejadian yang berlaku di Teluk Intan ini dan cuba memalingkan isu sebenar.

Menurutnya, mereka cuba membawa persepsi bahawa isu mengibar bendera ini adalah isu picisan dengan meletakkan kesalahan kepada pihak yang mengecam tindakan tersebut.

Justeru, beliau menegaskan PAS berdiri teguh atas tindakan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria serta beberapa pihak lain seperti Bersatu, Ketua Pemuda UMNO, MCA, dan pelbagai NGO yang turut mengecam kebiadaban tersebut.

“Sekali lagi PAS menggesa kerajaan bertindak segera terhadap pihak yang memulakan provokasi dan tindakan tidak patriotik serta mereka yang membela pihak berkenaan, bukan menyiasat mereka yang membuat laporan polis,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/10/2024










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo