Uwais dan Maria menunjukkan dokumen penjagaan sementara yang ditandatangani ketika ditahan dalam Ops Global, 19 September lalu. - Foto NSTP/Samadi Ahmad

PUTRAJAYA: Suami isteri mendakwa menjadi mangsa keadaan selepas empat anak diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika Ops Global, 19 September lalu.

Pasangan suami isteri yang mahu dikenali Uwais, 37, dan Maria, 36, dari Bandar Country Homes, Rawang berkata mereka bukan ahli Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH), sebaliknya secara kebetulan tinggal menyewa di kawasan GISBH.

Menceritakan mengenai penahanan, Uwais berkata, mereka ditahan jam 7.30 pagi di kediaman bersama empat anak berusia 15,12, 8 dan 4 tahun.

Sewa murah di kawasan GISBH


Beliau yang juga pemandu limosin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkata mereka menyewa di kawasan itu sejak lapan tahun lalu di rumah kedai di kawasan itu kerana sewanya murah RM275 sebulan.

"Kami bukan ahli GISB," katanya ditemui pada sidang media Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK) hari ini.

Uwais berkata, mereka ditahan selama enam hari di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor Shah Alam manakala anak ditahan dua hari dan diasingkan daripada ibu bapa.

Menurutnya, semasa dalam penahanan mereka diarah JKM untuk menandatangani satu dokumen dan tidak diberi penjelasan tentang isi kandungan dokumen itu.

Katanya, selepas dibebaskan baharulah dimaklumkan dokumen yang ditandatangani itu bertujuan hak penjagaan sementara anak.

"Ketika ini kami berdepan kebingungan kerana hak penjagaan anak berada di bawah adik perempuan di Kuala Lumpur selepas perintah mahkamah dibuat JKM," katanya.

Uwais berkata, selepas sebulan dibebaskan mereka tidak dapat berjumpa anak kerana akur dengan perintah mahkamah.

Katanya, mereka pernah beberapa kali menghubungi JKM untuk mendapatkan penjelasan berhubung anak namun panggilan tidak dijawab.

"Kami harap anak dapat dikembalikan semula kerana mereka perlu ke sekolah dan anak bongsu sering menangis serta mahu pulang ke pangkuan keluarga," katanya.

Sumber | Bharian