NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jawapan MB tak kompeten, falasi, simplistik – Razman




IPOH: Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria membidas Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad kerana memberikan kenyataan yang tidak kompeten dan bersifat falasi terhadap isu kibaran bendera China di Teluk Intan, kelmarin dahulu.

Katanya, Menteri Besar seharusnya mengambil tindakan untuk menyiasat kes ini dan mengenakan tindakan tegas serta melaksanakan dasar dan garis panduan yang lebih ketat di peringkat pihak berkuasa tempatan serta mana-mana agensi penguatkuasaan.

“Bukannya membuat kenyataan seolah-olah ‘menormalisasikan’ kejadian tersebut dengan menyatakan tidak salah apabila bukan warganegara Malaysia berarak mengibarkan bendera mereka di negeri yang berdaulat ini.

“Ini Malaysia bukan China!” tempelak beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perak menegaskan pendiriannya dan sebilangan besar rakyat negeri ini yanh menzahirkan rasa dukacita dengan sikap pemimpin Umno itu.

Tambah beliau, Saarani sebagai pemimpin nombor satu di negeri ini, isu yang berlaku tersebut perlu diuruskan dengan baik dan bijaksana serta perlu ada sifat ketegasan apatah lagi ia melibatkan kedaulatan sesebuah negara.

“Di manakah semangat patriotisme dan cintakan negara yang sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin sebagai contoh ikutan kepada rakyat?” ujar Razman yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol.

Beliau menyifatkan Menteri Besar gagal menguruskan isu ini dengan baik dan hanya membiarkan sahaja salah seorang Exco Kerajaan Negeri ‘mempromosikan’ kejadian tersebut di media sosial.

“Apabila terbongkar, Exco berkenaan telah padam video tersebut. Seharusnya MB boleh melaksanakan tindakan tegas untuk merehatkan Exco berkenaan dengan memintanya meletakkan jawatan disebabkan imej negeri Perak yang telah tercalar.

“Timbul persoalan, adakah MB Perak seolah-olah merestui dengan kejadian dan insiden buruk yang telah berlaku bahkan ianya telah memberikan imej yang kurang baik kepada sebuah negeri berdaulat negeri Perak yang tercinta ini?

“Sekali lagi saya tegaskan, perpaduan antara kaum dibina melalui sifat saling menghormati antara satu sama lain berasaskan ketetapan yang ada di dalam Perlembagaan serta prinsip keluhuran undang-undang.

“Yang digunapakai bagi menjaga ketenteraman awam walaupun yang terlibat bukan warganegara Malaysia. Kerana apabila seseorang telah masuk ke negara ini, wajib untuk mereka mengikuti segala undang-undang telah termaktub di negara ini tanpa ada kompromi.

“Ini negara dan negeri kita! Sayangilah negara dan negeri ini!” ujarnya turut menempelak reaksi Saarani selaku Menteri Besar sebagai amat bersifat simplistik atau mengambil mudah.

Antaranya Saarani berkata bahawa tindakan warga asing mengibarkan bendera kebangsaan mereka di luar negara bukan sesuatu yang janggal, malah pemandangan sedemikian biasa dilihat dalam banyak perhimpunan di luar negara termasuk temasya sukan.

Sanggah Razman, temasya sukan adalah acara rasmi, tetapi kejadian di Teluk Intan itu adalah bendera negara luar dikibarkan di tempat awam di mana ia satu kesalahan mengikut lunas undang-undang Akta 193, Seksyen 3. – HARAKAHDAILY 27/10/2024






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo