NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ini masa paling sesuai hapuskan subsidi petrol RON95, Putrajaya diberitahu



Konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah dan kemungkinan harga minyak mentah akan naik menimbulkan persoalan sama ada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan meneruskan rancangan menghapuskan subsidi petrol, empat bulan selepas kerajaan membatalkan subsidi diesel yang menyaksikan lonjakan harga pam sebanyak 55% di seluruh Semenanjung Malaysia.

Penganalisis bagaimanapun percaya kestabilan harga minyak mentah ketika ini, walaupun negara pengeluar minyak utama semakin menuju ke arah konflik terbesar sejak berakhirnya perang Iraq dua dekad lalu, menawarkan peluang terbaik untuk kerajaan mengumumkan pemansuhan subsidi untuk RON95, jenis petrol yang digunakan majoriti kenderaan persendirian di Malaysia.

Pakar ekonomi Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga minyak mentah global kekal stabil, walaupun minyak mentah Brent meningkat AS$3 kepada AS$74 sehari selepas serangan peluru berpandu Iran di Tel Aviv awal bulan ini.

Nilai ringgit yang semakin naik dalam beberapa minggu kebelakangan ini turut membantu menurunkan harga runcit petrol, katanya.

Beliau berkata berdasarkan harga semasa minyak mentah Brent RM2.83 seliter, harga RON95 tanpa subsidi akan berada di bawah paras RM3 seliter, walaupun tiada anggaran tepat diberikan.

Ini masih jauh lebih murah berbanding April lalu, ketika RON95 tanpa subsidi berharga RM3.60 seliter, apabila kerajaan terpaksa membelanjakan lebih banyak subsidi untuk menstabilkan harga di pam.

Afzanizam berkata keadaan semasa ini merupakan peluang terbaik kepada kerajaan untuk melaksanakan penghapusan subsidi untuk RON95, rancangan yang lama tertangguh.

"Kedudukan harga minyak pasaran adalah begitu kondusif sekiranya kerajaan berhasrat untuk mengurangkan subsidi pada ketika ini kerana perbezaan antara harga pasaran dan harga subsidi adalah terkecil semenjak tahun 2022," kata Afzanizam, yang merupakan ketua ekonomi di Bank Muamalat.

Harga minyak global sering menjadi tumpuan setiap kali perang dan konflik meletus di Timur Tengah, di mana harga melambung naik ketika Revolusi Islam Iran pada 1979, disusuli Perang Iran-Iraq selama lapan tahun, pencerobohan Kuwait pada 1990, pencerobohan Iraq pada 2003 dan kebangkitan rakyat di beberapa negara Arab sekitar 2010-2011.

Kerajaan ketika ini masih mengekalkan subsidi untuk RON95, menjadikan harga di pam pada RM2.05 seliter, manakala petrol gred lebih tinggi RON97 tidak menerima subsidi dan kini berharga RM3.19 seliter.

Pada 10 Jun lalu, kerajaan mengumumkan penghapusan subsidi pukal bagi diesel menyebabkan harga di stesen minyak melonjak kepada RM3.35 seliter.

Tindakan itu mengundang kemarahan orang ramai, ditambah dengan kenyataan beberapa sektor perniagaan yang berkata mereka tidak dapat menjamin harga barangan dan perkhidmatan akan kekal sama, walaupun langkah diambil bagi memastikan subsidi disasarkan untuk beberapa industri.

Rasa tidak puas hati itu tidak diendahkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang berkata kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk membatalkan subsidi bagi RON95.

"Kami akan mengumumkannya seperti mana kami buat kejutan mengenai diesel. Selepas kejutan mengenai diesel, orang ramai boleh bersiap sedia untuk satu lagi kejutan," katanya dalam wawancara bersama Bloomberg pada Jun.

Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan Anwar dijangka akan menghuraikan butiran mengenai penstrukturan semula subsidi untuk petrol RON95.

Sementara itu, penganalisis Doris Liew dari badan pemikir IDEAS Malaysia berkata sebagai pengimport minyak mentah dan produk petroleum, Malaysia berdepan cabaran besar jika harga minyak terus meningkat akibat konflik Timur Tengah.

Beliau berkata defisit fiskal akan meningkat jika subsidi petrol tidak dimansuhkan.

Pada masa sama, Liew memberi amaran tentang peningkatan inflasi dan kos sara hidup jika kerajaan memutuskan untuk menghapuskan subsidi bagi RON95.

"Dengan tekanan yang bertentangan ini, penghapusan subsidi petrol secara berperingkat mungkin menjadi pendekatan terbaik. Langkah ini dapat membantu mengurangkan kesan kepada pengguna sambil perlahan-lahan mengurangkan beban subsidi kerajaan.

"Namun, jika harga minyak terus meningkat, pelaksanaan strategi ini mungkin akan menghadapi cabaran yang lebih besar," katanya.



Sumber | MalaysiaNow 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo