Kerajaan perlu menjelaskan definisi maha kaya dan istilah kelompok T15 yang dikatakan tidak layak menerima subsidi petrol RON95 kelak, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurut beliau, gambaran yang diperoleh berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan seolah-olah dua individu serumah dengan pendapatan terkumpul RM7,000 merupakan golongan T15.
“Kalau mengikut maklumat DOSM, mereka yang bergajikan isi rumah RM12,000 akan diklasifikasikan sebagai T15. Isi rumah ini bukannya seorang tetapi mewakili 3.8 individu.
“Kalau ada dua orang yang bekerja bawah isi rumah tersebut, kita boleh anggarkan dalam RM7,000. Kerajaan maklumkan kumpulan bergajikan RM7,000 tidak layak mendapat subsidi.
“Ia termasuk subsidi petrol, pendidikan tidak kira ke asrama penuh dan universiti awam. Ia termasuk subsidi kesihatan,” katanya menerusi video di media sosial miliknya semalam.
Beliau berkata demikian dalam mengulas pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan penyasaran subsidi petrol akan dimulakan pada pertengahan 2025.
Katanya, 85 peratus rakyat Malaysia tidak akan terkesan dengan penyasaran tersebut melainkan golonngan maha kaya yang berbaki 15 peratus.
Syed Saddiq berkata kerajaan wajar menyemak semula definisi T15 kerana golongan berpendapatan RM7,000 tidak sewajarnya dianggap sebagai golongan maha kaya dan mereka layak menikmati subsidi asas.
“Adakah wajar kita menghukum mereka yang saya rasa berada dalam kategori kelas pertengahan kerana purata gaji mereka hanya RM7,000 sebulan.
“Kerajaan kata mahu perangi golongan maha kaya tetapi adakah mereka yang menerima RM7,000 sebulan wajar diklasifikasikan golongan maha kaya?
“Kerajaan wajar pertimbangkan perkara ini kerana ambang RM7,000 itu teramat rendah,” katanya yang menyifatkan golongan berkenaan adalah kumpulan profesional.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment