Lo Su Fui (GRS-Tawau) menunjukkan kepada Dewan Rakyat gambar keadaan jalan persekutuan yang gelap di Sabah, yang menurutnya menyebabkan banyak nyawa terkorban. |
Lo Su Fui (GRS-Tawau) berkata, sekiranya kerajaan pusat gagal memberi komitmen melaksanakan tanggungjawab menyelenggara lampu jalan di sepanjang 1,400km jalan persekutuan di Sabah, tugas itu boleh diserahkan kepada pentadbiran negeri.
“Inilah keadaan jalan raya di Sabah, gelap gelita … Ahli Parlimen dan rakan-rakan tanya, ini gambar X-ray atau galaksi? Saya kata bukan, inilah keadaan jalan raya yang gelap gelita di Sabah.
“Jadi, Sabah ingin peruntukan dan komitmen tetap dari persekutuan untuk menyelenggara lampu jalan sepanjang 1,400km, atau kembalikan dana dan bidang kuasa kepada kerajaan negeri.
“Masalah ini sepatutnya diselesaikan lama dahulu kerana banyak sudah nyawa rakyat berkorban sehingga sekarang .. ini bukan isu kemajuan atau kemunduran, ini soal hidup dan mati,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Beliau turut berasa kecewa kemunduran di Sabah dan Sarawak masih gagal diberi keutamaan oleh Putrajaya apabila dua negeri itu hanya menerima 14.6% peruntukan pembangunan daripada RM86 bilion.
“Sabah, Sarawak sepatutnya mendapat lebih banyak peruntukan untuk membangunkan infrastruktur setaraf Semenanjung,” katanya.
“Peruntukan yang diterima Sabah, Sarawak jika digabungkan, hanya 14.6% daripada RM86 bilion, bermakna sebanyak 85.3% dinikmati Semenanjung.”
Lo turut meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyegerakan pembinaan balai bomba baharu di Tawau,
Menurutnya, balai sedia ada sudah tidak mampu menampung kepadatan penduduk yang turut meliputi lebih 55,000 rumah atas air.
“Balai bomba Tawau ketika ini perlu jaga kawasan seluas 6,146.6km persegi, termasuk hampir 55,000 rumah atas air dengan anggaran satu juta penduduk. Jadi mohon KPKT mempercepat peruntukan dana untuk menaik taraf balai bomba sedia ada serta membina balai bomba baharu di tapak yang sudah disediakan.
“Tambah kakitangan dan jentera … peralatan moden seperti dron pemadam api juga diperlukan segera, memandangkan Tawau mempunyai kawasan setinggan terbesar di Malaysia,” katanya.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment