NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Berdepan kenaikan gaji minimum, restoran kurangkan pekerja, kaji harga menu

Pengusaha restoran bimbang dengan kenaikan gaji minimum dan tidak menolak kemungkinan mengambil beberapa langkah seperti menaikkan harga dan mengurangkan pekerja.




Walaupun kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan yang berkuatkuasa Februari tahun depan disambut baik pekerja, pemilik restoran bagaimanapun berkata ia akan memaksa mereka mengurangkan bilangan pekerja dan menaikkan harga makanan demi kelangsungan perniagaan.

Gabungan Pengusaha Restoran Kelantan Nik Hassan Zain berkata satu-satunya pilihan yang baik dalam memastikan majikan mampu meneruskan operasi adalah dengan mengurangkan pekerja. 

Bagaimanapun, persatuan yang mewakili lebih 200 pemilik restoran di Kelantan itu menyedari ini akan menjadi langkah sukar disebabkan kerana harga semasa sudah dianggap tinggi.

"Kami bergantung kepada jualan harian, jadi barang dah begitu lama naik tapi kami tak boleh jual mahal lagi," kata pengerusinya Nik Hassan Zain kepada MalaysiaNow.

Sambil berkata marjin keuntungan mereka semakin mengecil, Nik Hassan berkata ada pemilik restoran yang tidak ambil gaji kerana tidak mampu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2025 mengumumkan kenaikan gaji minimum itu turut memutuskan tarikh akhir pelaksanaan akan dipanjangkan kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja, daripada Februari 2025 kepada Ogos 2025. 

Nik Hassan menafikan dakwaan majikan enggan membayar pekerja dengan kadar gaji minimum yang ditetapkan, dan berkata ia tidak pernah menjadi isu sebaliknya menegaskan tidak semua majikan mampu memenuhi sasaran tersebut. 

Menurutnya, ia lebih-lebih dalam keadaan di mana perniagaan restoran di Kelantan tidak lagi meriah seperti beberapa tahun lalu. 

"Ada lah beberapa pengusaha (masih mendapat keuntungan) yang tinggi, itu tidak dinafikan. 

"Tapi masih ramai pengusaha yang dalam kategori lampu kuning macam hidup segan mati tak mahu."

 Sementara itu, Yazid Md Noor, yang memiliki sebuah restoran BBQ di Gombak, Selangor berkata pihaknya sedang menyemak harga bufet bagi tahun depan susulan penetapan kadar gaji minimum baharu tersebut. 

Harga bufet dewasa ketika ini ialah RM35 tetapi dijangka meningkat untuk menampung kos kenaikan gaji 11 orang pekerjanya. 

"Rakan kongsi ada cadangkan juga untuk kurangkan pekerja tetap dan bayar upah pekerja sambilan sahaja untuk hujung minggu," katanya kepada MalaysiaNow.

Menurutnya, kiraan kasar mendapati peningkatan sekitar RM14 atau RM15 bagi harga baharu set bufet di restorannya. 

Ini bermakna harga bufet bagi seorang pelanggan dewasa meningkat dari RM35 kepada RM49 atau RM50 seorang. 

"Harga tinggi sangat tu, kita masih buat kira-kira dan belum buat keputusan. 

"Banyak kena kaji seperti penggunaan bahan sama ada nak kurangkan daging atau makanan laut untuk jimatkan kos dan kita cuba bertahan tak lari jauh dengan harga asal.

"Tapi kalau tak boleh, kalau memang rugi. Kita tiada pilihan lain. Harga semua akan naik." 

Sementara itu, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menyambut baik penetapan kadar gaji minimum baharu tersebut, mengatakan RM1,700 adalah titik permulaan kepada penawaran kadar gaji yang lebih tinggi. 

Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman berkata, sehingga kini lebih ramai majikan membayar gaji melebihi gaji minimum yang ditetapkan kerajaan. 

"MEF menggesa majikan yang mampu membayar gaji lebih tinggi supaya membayar gaji melebihi gaji minimum.

"Tidak ada sesiapa yang boleh menggunakan gaji minimum sebagai alasan untuk membayar gaji berdasarkan gaji minimum," katanya kepada MalaysiaNow. 

Kawalan harga 

Nik Hassan bagaimanapun berkata ramai pemilik restoran masih belum dapat mencapai gaji minimum RM1,500 yang ditetapkan kerajaan terdahulu disebabkan trend kuasa membeli semakin lemah akibat kos barangan dan sara hidup yang tidak menentu. 

Katanya kerajaan seharusnya mengawal kenaikan harga barangan sebelum menetapkan kadar baharu gaji minimum. 

"Tapi mengikut trend-trend yang lepas, kerajaan memang tak mampu lah," katanya. 

Syed Hussain mengakui kebimbangan tersebut, dan bersetuju kerajaan mesti mengawal harga barangan dan kos sara hidup rakyat. 

"Jika tidak, peningkatan gaji sebanyak mana pun tidak akan memberi manfaat kepada mereka."




Sumber | MalaysiaNow 











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo