NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Belanjawan 2025: Penghapusan subsisi, kerajaan perlu telus pulangan manfaat kepada rakyat



Pakar mengingatkan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar tidak terlalu mengikut pengaruh luar dalam memperkenalkan dasar ekonomi, menjelang pembentangan belanjawan Jumaat ini.

Gesaan itu dipercayai merujuk kepada langkah kerajaan meneruskan penghapusan subsidi, tindakan yang selari dengan dasar Bank Dunia dan Tabung Kewangan Dunia (IMF) yang selama ini mahu negara membangun menghapuskan subsidi minyak.

Terdapat spekulasi Belanjawan 2025 bakal mengumumkan penarikan subsidi RON95, minyak petrol yang digunakan majoriti kenderaan persendirian di Malaysia termasuk kereta dan motorsikal yang digunakan golongan B40.,

Ia menyusuli penghapusan subsidi pukal diesel awal tahun ini, keputusan yang disambut dengan kritikan terutama oleh peniaga dan pengusaha kecil yang bergantung kepada bahan api tersebut.

Putrajaya bagaimanapun tetap mempertahankan penarikan subsidi diesel, selain kenaikan caj elektrik dan langkah mengapungkan harga beberapa barang keperluan harian yang selama ini menerima subsidi, dengan memberi alasan mengurangkan bebanan fiskal kerajaan. 

Mengulas perkara itu, Adilah Zafirah Mohd Suberi, penyelidik dari badan pemikir Institut IRIS, berkata sebarang pelaksanaan dasar ekonomi perlu mengambil kira kepentingan nasional.

"Belanjawan negara membabitkan cukai, subsidi dan pencen mesti dibuat tanpa pengaruh atau tekanan asing seperti Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Bank Dunia," katanya kepada MalaysiaNow.

"Kajian dan keputusan yang dilakukan mesti mengutamakan kepentingan nasional dan berdasarkan keadaan dan keperluan Malaysia."

Menurutnya, terdapat kegusaran mengenai hala tuju dasar ekonomi apabila terdapat laporan kerajaan mahu mengembalikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Saya tertanya-tanya apa yang kita mahukan sebenarnya, dan tidak mustahil kita terus ikut pengaruh luar," kata Adilah.

Menurutnya, kerajaan perlu telus mengenai pulangan manfaat terhadap rakyat daripada cukai-cukai yang diperkenalkan dan penyelarasan subsidi.

Bank Dunia dan IMF merupakan antara penyokong kuat penyelarasan subsidi, istilah yang digunakan untuk merujuk peghapusan subsidi.

Semasa krisis matawang Asia lewat 90-an, IMF enggan memberi pinjaman kepada Thailand melainkan kerajaan membatalkan subsidi minyak dan makanan. 

Badan itu turut diheret ke kancah konflik politik yang melanda Malaysia ketika itu apabila perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, mendedahkan antara punca beliau tidak sependapat dengan timbalannya Anwar adalah pakej bantuan ditawarkan IMF, yang ditolak Malaysia.

Anwar berulang kali berkata pengurangan beban kewangan kepada kerajaan adalah bagi mengelakkan negara "bankrap", di samping mendakwa kesan positif pembaharuan struktur itu dapat dilihat menerusi prestasi ringgit, peningkatan dalam pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.

Adilah bagaimanapun berkata kesan daripada mekanisma yang tergesa-gesa oleh kerajaan memberikan tekanan.

"Meskipun rasionalisasi subsidi membantu mengurangkan kadar defisit fiskal dan hutang negara, ia meningkatkan tekanan inflasi yang memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup dan kos perniagaan," katanya.

Beliau mengambil contoh Nigeria, antara negara pengeluar minyak terbesar dunia, yang mengikuti saranan IMF menghapuskan subsidi minyak pada tahun lalu.

Langkah itu dipuji Bank Dunia yang menyifatkan ia langkah pertama ke arah kestabilan makroekonomi dan mewujudkan lebih banyak ruang fiskal.

"Ironinya, penghapusan subsidi yang sepatutnya bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan negara telah menyebabkan hutang Nigeria meningkat. Sebagai pertukaran kepada penghapusan subsidi, Bank Dunia memberi pinjaman AS$800 juta kepada Nigeria untuk pemberian tunai kepada golongan miskin.

"Kadar faedah juga akan meningkat dari 1.65% kepada 3.4% menjelang bayaran akhir," katanya.

Penyusunan semula subsidi minyak oleh kerajaan Anwar dilihat antara perkara yang berlawanan dengan apa yang diperjuangkan oleh partinya PKR ketika menjadi pembangkang selama lebih dua dekad.

Ketika bekas perdana menteri mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen pada 2013 - disebabkan rasionalisasi subsidi - ia dikecam wakil rakyat PKR, William Leong, sebagai "polisi neo-liberal yang gagal".

Bagaimanapun, Leong, yang merupakan ahli Parlimen Selayang, kini mempertahankan pendekatan serupa di bawah kepimpinan Anwar.

Menurut Leong, subsidi pukal dan kawalan harga membawa kepada ketirisan dan menghalang produktiviti dan inovasi, di samping menambah beban fiskal kerajaan.

Katanya, Skim Budi Madani, antara mekanisme kerajaan meneruskan subsidi diesel kepada golongan yang layak, tidak berasaskan polisi neo-liberal. 

"Ia telah merangkumi mekanisme untuk memperkasakan jaringan keselamatan sosial dan menambah baik keupayaan penambahan pendapatan untuk kumpulan sasar," katanya.

Beliau berkata kerajaan sekarang turut menaikkan gaji penjawat awam dan meneruskan Sumbangan Tunai Rahmah untuk menjaga kebajikan rakyat.

Sebaliknya, Leong berkata Najib tidak mempunyai mekanisme yang terperinci untuk membantu kumpulan rentan, selain sektor-sektor seperti pengangkutan, industri dan pertanian.



Sumber | MalaysiaNow 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo