KUALA LUMPUR – Peniaga kecil di Pasar Chow Kit, di sini, meletakkan harapan tinggi terhadap Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini.
Bagi peniaga barang basah, harga barang mentah seperti ayam, makanan laut, sayur-sayuran dan buahan yang tidak terkawal telah memberi kesan besar kepada perniagaan mereka.
Ramai peniaga terpaksa menaikkan harga jualan untuk menampung kos, tetapi tindakan itu kadangkala membawa kepada penurunan bilangan pelanggan, sekali gus menyukarkan mereka untuk terus beroperasi.
Menurut peniaga sayur, Suhaili Mohd Ali, 52, kenaikan harga sayur-sayuran sering kali mengejutkan dan memberi impak negatif terhadap jualan mereka.
“Ada pelanggan yang mempertikaikan kenapa harga naik. Sebagai contoh, tomato yang dulunya dijual pada harga RM4 untuk sekilo tiba-tiba naik ke RM10 sekilo.
“Secara tidak langsung, ini memberikan kesan kepada pendapatan saya. Sebelum ini, jualan boleh mencecah RM2,000 dalam masa dua minggu tapi kini menurun sebanyak 20 peratus, hanya RM1,600 sahaja.
“Saya percaya jika kos bekalan boleh dikawal atau subsidi diberikan, ia dapat membantu kami dalam mengekalkan perniagaan dalam jangka masa panjang,” katanya.
Suhaili juga berharap kerajaan dapat memperuntukkan bantuan kewangan khusus untuk peniaga kecil bagi membantu mengurangkan beban perniagaan mereka.
Kebimbangan yang sama turut diluahkan peniaga ayam, Muhammad Anuwar Sazali, 25, mengenai harga ayam yang tidak menentu lebih-lebih lagi apabila subsidi ayam sudah ditarik.
“Harga ayam sebelum ini hanya RM9 tetapi kini boleh mencecah RM11 dan sekarang ini, kita semua tidak pasti jika harga ayam akan terus naik atau sebaliknya.
“Walaupun harga ayam naik, pelanggan tetap akan membeli kerana mereka tiada pilihan kerana ayam merupakan makanan utama dalam setiap rumah. Jadi walaupun mahal, mereka masih perlu membelinya untuk keperluan seharian.
“Kami faham bahawa pengguna tertekan dengan harga yang tinggi, tetapi peniaga seperti kami juga tersepit dengan kos operasi yang kian meningkat. Kawalan harga yang lebih ketat dan berkesan amat diperlukan supaya harga ayam lebih stabil dan tidak melonjak tanpa kawalan,” katanya.
Beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan kewangan atau subsidi baharu untuk peniaga ayam. Kawalan harga yang lebih stabil bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi peniaga malahan menjaga kebajikan pelanggan.
Bagi peniaga makanan laut, Yap Boon Pin, 54, cabaran utama ialah ketidakstabilan harga barang basah.
“Jumlah pelanggan makin menurun, dalam sehari adalah kurang dari 10 orang yang datang membeli. Kami terpaksa menjelaskan kepada pelanggan tentang kenaikan harga barang yang tidak dapat dielakkan.
“Sejujurnya, tidak mencukupi kerana perlu bayar sewa tapak niaga, gaji pekerja, modal untuk perniagaan dan ada keluarga yang perlu ditanggung.
“Ramai peniaga kecil terpaksa bergantung kepada simpanan sendiri untuk bertahan. Jika kerajaan dapat menyediakan lebih banyak inisiatif kewangan, kami boleh menambah stok dan mengembangkan perniagaan,” katanya.
Selain itu, Boon Pin turut mengharapkan kawalan harga yang lebih konsisten untuk melindungi peniaga dan pengguna.
Secara keseluruhan, peniaga kecil berharap agar Belanjawan 2025 bukan sahaja dapat menangani isu kos barangan, tetapi juga memberi tumpuan kepada sokongan kewangan dan pengawalan harga yang lebih ketat untuk membantu mereka terus bertahan dan berkembang dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.
Belanjawan 2025 dijangka membuka peluang keoada kerajaan untuk mengumumkan inisiatif yang diharap dapat meredakan tekanan ekonomi dan menstabilkan harga barang keperluan di pasaran.
Harapan ini mencerminkan betapa pentingnya tindakan proaktif dari pihak kerajaan dalam menyokong kelangsungan peniaga kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi negara. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment