KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP dituntut untuk menjelaskan kepada rakyat Malaysia rasional disebalik sambutan luar biasa yang diberikan kepada kelasi dan kadet Tentera Laut China (PLAN) baru-baru ini.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz berkata, gabungan pembangkang musykil pemilihan Pulau Pinang oleh Task Group 83 negara itu sebagai pelabuhan persinggahan berbanding pelabuhan lain di Malaysia.
“Melalui pemerhatian saya, aktiviti port-call yang dibuat oleh PLAN Task Group 83 ini adalah sesuatu yang di luar norma kebiasaan.
“Dua buah kapal besar PLAN Task Group 83 yang melaksanakan port-call ini iaitu Kapal Qi Jiguang dan Kapal Jinggang Shan telah melaksanakannya secara bersama dalam satu masa di Pulau Pinang, walaupun sebenarnya tiada keperluan logistik untuk mereka melaksanakan ‘port-call’ ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ikhmal yang juga Ketua Portfolio Pertahanan PN berkata demikian mengulas mengenai dakwaan kehadiran tentera dari China ke sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanah Merah itu berkata, sambutan berkenaan tidak sepatutnya dibuat sempena pelaksanaan latihan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahupun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Sambutan luar biasa dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada kelasi dan kadet Tentera Laut RRC (Republik Rakyat China) yang sebelum ini jarang-jarang melaksanakan aktiviti port-call di pelabuhan awam di Malaysia.
“Apatah lagi aktiviti port call yang dibuat oleh Task Group 83 ini tidak dibuat sempena pelaksanaan eksesais dengan ATM atau TLDM,” ujarnya lagi.
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu turut menegaskan sambutan luar biasa oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu telah menghantar mesej yang salah kepada rakyat Malaysia serta tidak sensitif terhadap isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
“Mengambil kira PLAN China ini secara 24 jam meletakkan aset kapal tentera laut mereka dengan disokong oleh pasukan pengawal pantai RRC di kawasan Beting Patinggi Ali dalam usaha mereka menuntut wilayah berkenaan sebagai wilayah laut RRC,” katanya.
Media melaporkan kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan kedatangan kira-kira 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri itu menaiki dua kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang untuk kunjungan silaturahim.
Pasukan tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dan pelatihnya dibawa melawat beberapa tempat menarik di Pulau Pinang dan turut berkesempatan berinteraksi dengan penduduk tempatan ketika sesi lawatan berkenaan.
Bagaimanapun, lawatan itu mencetuskan kontroversi apabila kunjungan sebahagian daripada anggota tentera laut China berkenaan ke satu majlis di Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) tular di beberapa platform sosial media. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment