BANGI, Isnin – Pembunuhan beramai-ramai di Gaza kini sudah memasuki genap setahun sejak genosid berlaku sehingga ke hari ini.
Masih belum berlaku sebarang tindakan berkaitan waran penahanan terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang didakwa bertanggungjawab dalam perang di Gaza.
Pakar Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata bahawa setakat ini sebarang usaha mendakwa Netanyahu belum dijalankan.
Tambah beliau, jika dibuat perbandingan dengan kes waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Presiden Rusia Vladimir Putin dalam Perang Ukraine, tempoh permohonan pendakwaan dan masa perbicaraan mengambil masa hanya tidak sampai sebulan.
“Tetapi untuk hal Israel-Palestin, ia mengambil masa yang lama kerana permohonannya melibatkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant dan jangan lupa, pemohonan untuk menangkap pemimpin Hamas Yahya Sinwar termasuk Almarhum Ismail Haniyeh juga dilakukan namun setakat ini belum ada tanda-tanda pembicaraan yang akan dilakukan dalam masa terdekat.”
Sehubungan itu, jelas beliau Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dilihat seolah-olah mengalami kesukaran dalam mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu walaupun jenayah-jenayah yang dilakukan Israel sudah jelas.
Susulan itu, Azmi berkata bahawa keadaan ini adalah disebabkan pengaruh Amerika Syarikat yang sentiasa berpihak kepada Israel.
“Pernah dalam dua tiga tahun yang lalu, pendakwa raya cuba untuk membicarakan tindakan tentera Amerika Syarikat di Afghanistan malah sebaliknya beliau pula yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat. Keadaan ini yang dikatakan sebagai kuasa besar iaitu mereka mampu melakukan apa sahaja termasuk dalam kes waran tangkap Benjamin Netanyahu.
“ICC sepatutnya boleh mengeluarkan waran tangkap tanpa pergi atau mendapatkan kelulusan daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, jadi tidak akan timbul isu kuasa veto oleh Amerika Syarikat di sini.”
Sehubungan itu, apa yang akan berlaku kepada Netanyahu jika dikenakan waran tangkap adalah nasibnya akan sama seperti Presiden Rusia, Vladimir Putin di mana dia tidak boleh ke negara yang menjadi ahli kepada Statut Rom, tambah beliau ketika ditemu bual oleh TV Pertiwi baru-baru ini.
Azmi menambah bahawa jika Netanyahu pergi ke sebahagian negara yang menjadi ahli Statut Rom, maka negara tersebut berhak dan mempunyai kuasa untuk menangkap atau menahan Netanyahu. Namun tidak semua negara yang akan melakukan hal tersebut iaitu negara yang pro Israel tidak akan menangkapnya walaupun hakikatnya ada 124 negara sebahagian daripada Statut Rom.
Susulan itu, Azmi Hassan percaya bahawa penangkapan Netanyahu dapat menghentikan perang Israel-Palestin.
Beliau menjelaskan bahawa Israel sering menggagalkan perjanjian gencatan senjata adalah disebabkan Netanyahu sengaja memanjangkan perang berikutan Netanyahu sedang menghadapi isu-isu mahkamah berhubung tuduhan rasuah.
Oleh itu, selagi beliau menjadi perdana menteri, maka pembicaraan itu akan menjadi lambat untuk dilakukan selain mempunyai kuasa politik untuk menangguhkan pembicaraan mahkamah tersebut.
“Jika kita lihat situasi semasa yang berlaku, Israel seboleh-bolehnya mahu menjadikan Gaza tidak boleh diduduki oleh manusia dan ini kita dapat lihat kemusnahan yang berlaku hampir secara total dari segi kemusnahan fizikal seperti sekolah, hospital dan tempat kediaman serta menjadikan Gaza seperti padang jarak padang tekukur.”
Beliau menjelaskan bahawa Netanyahu dan kebanyakan kabinetnya tidak mahu Palestin wujud sebagai negara yang berdaulat.
“Jikalau Israel tewas, maka kemungkinan besar akan wujud satu negara Palestin yang merdeka dan berdaulat walaupun tidak pasti akan mengambil sempadan yang mana, sempadan 67 atau 73. Tetapi yang pasti, Palestin akan merdeka.”
Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan telah melakukan permohonan mengeluarkan waran tangkap kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan juga ke atas menteri-menteri kabinetnya pada 20 Mei lalu.
Selain itu, permintaan waran tangkap juga dilakukan ke atas pemimpin-pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, Mohammed Deif dan juga Almahrum Ismail Haniyeh susulan kedua-dua pihak dipercayai melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan Israel.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment