NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Angkat Kedah kembali julang tamadun kejayaan




ALOR SETAR
: Kedah pernah menempa nama sebagai negeri pengeluar besi utama dunia dan pusat tamadun terawal di Asia Tenggara yang terkenal.

Kedudukan itu berikutan terdapat bukti aktiviti pelaburan besi yang sistematik dan berteknologi telah wujud seawal 535 sebelum masihi dan aktif hingga abad ke-15.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, di era peperangan Kedah dengan Siam dan British iaitu antara tahun 1821 hingga 1838, negeri ini tercatat dalam sejarah sebagai bangsa yang mempunyai semangat juang tinggi.

“Perkara itu diungkap oleh seorang pegawai tentera laut British, Sherard Osborn dalam bukunya ‘The Blockade of Kedah in 1838’ kenyataan ‘Like spaniels (dogs).

“Kata beliau yang diterjemahkan, ‘seperti anjing, penduduk pribumi pesisir laut Semenanjung India menjilat tangan yang menghina mereka. Tetapi tidak orang Melayu.

‘Kita (orang Inggeris) sepatutnya menjadi yang pertama menghormati satu bangsa yang tidak tunduk kepada kezaliman dan penindasan’,” jelasnya merasmian Pelancaran The Greater Kedah, di Dewan Seri Mentaloon, hari ini.

Oleh itu katanya, dengan gabungan dua elemen terkuat dari rekod sejarah yang hebat itu, semangat anak-anak Kedah perlu segera dipulihkan dan kesedaran generasi kini perlu dibangkitkan dan kedudukan negeri ini dikembalikan.
 
Dalam pada itu kata beliau, Gagasan The Greater Kedah yang diilhamkan oleh Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, merupakan gagasan besar meliputi seluruh aspek serta menuju masa hadapan dengan melangkaui batas masa.

“Usaha untuk mengembalikan semula kegemilangan Kedah untuk menjadi lebih hebat ketimbang kedudukan pada masa ini, melibatkan usaha pemerkasaan dan pemberdayaan dalam pelbagai aspek.

“Terutama dari aspek ekonomi, sosial, pengurusan hasil bumi, fiskal negeri, tadbir urus, perundangan, kehakiman syariah negeri serta kerjasama srategik, perancangan geopolitik serta aspek-aspek lain yang relevan dengan situasi dan keperluan semasa.
 
“Gagasan ini menyasarkan Kedah akan menjadi negeri nombor satu dengan rakyatnya mampu menikmati kehidupan yang sejahtera dalam persekitaran berdaya huni di setiap sudut, lembah, gunung, pulau dan dataran negeri ini,” katanya lagi.
 
Dalam pada itu Sanusi berkata, gagasan The Greater Kedah bukanlah bermakna menafikan usaha dan kerja keras yang telah dilakukan oleh para pemimpin negeri terdahulu.
 
Namun dengan status negeri ini telah sekian lama diberi taraf sebagai negeri pertanian, membuat terdapatnya kekangan serta halangan untuk negeri ini mara lebih jauh sederap dan selangkah dengan negeri-negeri lain yang sudah lama maju.
 
Sementara dalam masa sama, pihaknya melihat situasi demikian hanya akan merugikan rakyat negeri ini untuk jangka masa panjang jika tidak ada usaha yang besar untuk mengubah nasib dengan segera.
 
“Adakah kita sanggup untuk terus dipaksa menjadi miskin dengan menjadi _‘feeder’_ kepada kekayaan negeri-negeri lain hingga ke anak cucu akan datang?

“Atau kita mempunyai pilihan untuk mula bekerja keras menjadikan Kedah sebuah negeri yang kaya raya ini mampu untuk membuat keputusan sendiri demi kesejahteraan rakyatnya?” soal beliau.
 
Sanusi juga menegaskan, setakat ini Kedah sudah berada dalam ‘liga super’ di sektor pelaburan yang menjadi indikator pertumbuhan ekonomi negeri, sejak 2021 dengan nilai pelaburan diluluskan mencecah RM68.3 bilion, tertinggi dalam sejarah.

Sementara pada 2022 pula jelasnya, sebanyak RM13.1 bilion nilai pelaburan diluluskan, termasuk RM28.7 bilion, pada 2023.

Dalam pada itu, pada tahun ini (2024), Kedah telah berjaya menduduki tempat teratas iaitu nilai diluluskan mencecah lebih RM31 billion dalam sektor pembuatan.

“Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada semua pihak agensi negeri dan persekutuan termasuk anak-anak syarikat kerajaan negeri yang telah bekerja keras selama ini.

“Saya yakin dengan petunjuk ini kita berada pada landasan yang betul untuk mencapai impian The Greater Kedah. Insya Allah,” kata beliau.
 
Mengulas lanjut, ujarnya Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) yang  dibangunkan sejak 1996 ketika di era Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, terus menjadi pilihan pelabur hingga kini.

Katanya, dengan kemampuan infrastruktur pelaburan terbaik selain harga tanah yang kompetitif, Kedah ternyata mempunyai kelebihan berbanding negeri lain, bahkan negara-negara lain.

Oleh itu, bagi meningkatkan daya saing dalam menarik pelaburan, tambah beliau, Kerajaan Negeri Kedah telah memperkenalkan pendekatan mesra pelabur dengan produk E10, iaitu kaedah meluluskan permit pembinaan secara ekspres.

E10 katanya telah mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan sebagai kaedah paling efisien dalam meningkatkan ‘ease of doing business’.

Di mana jelasnya, dalam pembentangan Belanjawan Negara 2025, pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri mengiktiraf E10 sebagai pencapaian besar Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi.

“Bukan itu sahaja, E10 turut diiktiraf oleh para pelabur sebagai sangat cekap dan berkesan. Keberkesanan itu dirakamkan oleh Ingolf Schroeder, Member of Executive Board of AT&S dalam video yang diterbitkan oleh MPC.

“Malah artikel mengenai E10 telah diterbitkan dalam beberapa majalah antarabangsa antaranya International Business Review, Volume 139/2021 dan Asian Productivity Organisation yang berpangkalan di Tokyo pada June 2024,” jelas beliau.

Justeru, beliau dengan sukacitanya mengumumkan E10 yang kini dikenali sebagai E10 Plus, merupakan E10 versi baharu yang diperluaskan penggunaannya.

Iaitu menurut Muhammad Sanusi, merangkumi pelbagai proses termasuk kelulusan tanah dengan penggunaan teknologi termasuk Artificial Intelligent (AI)

Bagaimanapun tambah beliau, dalam usaha melonjakkan potensi negeri, banyak lagi perkara yang perlu lakukan dan tidak hanya memberi fokus kepada KHTP semata-mata untuk pelaburan industri.

“Terdapat banyak lagi kawasan industri yang sedang kita majukan seperti di Delapan Special Border Economic Zone (SBEZ) Bukit Kayu Hitam, Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP).

“(Juga) Kedah Rubber City (KRC), Gurun Industrial Smart Park (GISP) serta kawasan-kawasan industri yang sudah lama beroperasi seperti di Kuala Ketil, Sungai Petani dan Kulim,” ujar beliau
 
Sementara itu Sanusi turut menegaskan, nilai pelaburan serta pertumbuhan ekonomi bukanlah sepenuhnya dijadikan indikator sasaran dalam usaha memajukan negeri.

Sebaliknya kata beliau, kesejahteraan kepada rakyat dalam menikmati kehidupan dengan pendapatan yang mencukupi dan perbelanjaan sara hidup tidak terlalu tinggi.

Selain ujarnya, termasuk ketenangan hati, perasaan serta kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga dan berkomuniti, juga menjadi ukuran.

“Namun dalam masa yang sama, kita juga tidak dapat mengelak daripada menghadapi cabaran yang dibawa oleh perkembangan teknologi yang begitu pantas berkembang dan berubah.

“Perkembangan ini membawa kepada perubahan gaya hidup dan keperluan masyarakat menyebabkan setiap individu tidak mempunyai pilihan selain menyesuaikan diri dengan apa yang berlaku di persekitaran.

“Oleh itu selaku pentadbir dan pemimpin kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu mengadaptasi  setiap perubahan ini dengan proaktif dan cermat,” jelas beliau.

Dalam menggendong visi ‘The Greater Kedah’ tegasnya, kerajaan perlu memastikan masyarakat di negeri ini dapat hidup dalam suasana yang sihat, menjunjung tinggi nilai-nilai agama, spiritual dan kemanusiaan.

Teknologi katanya diamalkan untuk tujuan yang betul dan konstruktif, tidak terlalu menguasai hingga menyebabkan manusia lupa diri atau lupa daratan.

“Walau setinggi mana pun pencapaian hidup seseorang, perlu sentiasa diingatkan, kita adalah makhluk yang bertuhan dan suatu hari nanti pasti akan kembali semula ke pangkuan tuhan  untuk dipertanggungjawabkan atas setiap amal perbuatan di dunia.

“Ini asas kehidupan seseorang manusia sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, bahawa manusia dan jin ini dijadikan Allah untuk beribadat kepadaNya,” tambahnya.

Gagasan ‘The Greater Kedah’ ini katanya, adalah suatu perjalanan sangat panjang dan permulaan satu usaha yang tidak akan berhenti separuh jalan sesuai dengan definisinya, ‘melangkaui batasan masa’.

“Misi kita ke arah mencapai gagasan The Greater Kedah pada peringkat ini ialah Pelan Pembangunan Kedah 2035 (Kedah2035) yang akan ada kejayaan dicapai pada peringkat tertentu.

“Namun, itu bukanlah perhentian kerana perjalanan untuk mengembalikan kegemilangan dan kehebatan Negeri Kedah akan tetap diteruskan oleh generasi demi generasi pada masa akan datang,” kata beliau.

Sementara itu Sanusi mengakui, memang ada kedengaran suara curiga yang mendakwa The Greater Kedah masih tidak menampak hasil sedangkan realiti untuk mencapai kejayaan akan menjalani tempoh yang lama.

“Tetapi, kalau kita semua bersatu hati, Insya Allah ia boleh dipercepatkan. Bersatu hati dan bermuafakat dengan sebaik-baiknya. Memang buat masa ini, hasil The Greater Kedah tidak kelihatan dalam bentuk fizikal.

“Atau ‘touchable’ seperti sebuah bangunan, contohnya KLCC dan Menara Kuala Lumpur  ketika era kepimpinan  Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

“Tetapi The Greater Kedah ini  pengisiannya akan ada dalam pelbagai bentuk dasar, pelan, projek dan sebagainya dari masa ke masa,” jelas beliau lagi.

Oleh itu, dalam apa jua inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, beliau mengharapkan akan mencapai matlamat gagasan ini di mana fokus utama ialah membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Termasuk mempromosi pertumbuhan ekonomi dan melindungi kelestarian alam sekitar dengan Kedah akan kekal sebagai negeri yang berdaya huni selagi wujudnya dunia ini.
 
Pelan tindakan The Greater Kedah yang dilancarkan pada hari ini kata beliau, adalah satu ‘roadmap’ untuk dicapai dalam satu tempoh menjelang 2050.
 
Pelan tindakan itu ujarnya, tidak akan menerangkan secara terperinci apakah gerak kerja perlu dijalankan oleh setiap agensi dan jabatan sebaliknya menggariskan secara umum visi Negeri Kedah untuk jangka panjang.

“Oleh yang demikian, sikap proaktif jabatan dan agensi serta pendekatan melakukan kerja tanpa disuruh adalah kunci kepada kejayaan pelaksanaan The Greater Kedah.

“Saya percaya jika semua daripada kita mengamalkan sikap ini, kita mampu mencapai hasrat The Greater Kedah jauh lebih awal dari yang kita sasarkan.

“Melalui The Greater Kedah, Negeri Kedah bersedia untuk memikul tanggungjawab lebih besar di masa hadapan untuk menjadi sebuah negeri yang penting, membawa Malaysia ke peringkat seterusnya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 27/10/2024







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo