NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

402 kanak-kanak GISBH: GPAAK kemuka 12 tuntutan terhadap kerajaan – Tun Faisal

Jurucakap Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz bercakap kepada media megenai isu dakwaan terdapat banyak kecelaruan, tangkapan dan tahanan tidak mengikut undang-undang dalam isu 402 kanak-kanak dipisahkan daripada ibu bapa mereka kerana dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH) ketika di Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2024


PUTRAJAYA – Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK) mendakwa terdapat banyak kecelaruan, tangkapan dan tahanan tidak mengikut undang-undang dalam isu 402 kanak-kanak dipisahkan daripada ibu bapa mereka kerana dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH).

Jurucakapnya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ia termasuk, pelanggaran peraturan, hak asasi manusia, Artikel 9 dan 18 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dalam Op Global.

Ia susulan tindakan kerajaan didakwa merampas, menahan, memisah dan menyembunyikan 402 kanak-kanak daripada ibu bapa mereka kerana dikaitkan dengan GISBH.

Sehubungan itu, GPAAK menyenaraikan 12 tuntutan untuk dilaksanakan kerajaan dan pihak berkaitan termasuk memulangkan anak-anak yang ditahan kepada ibu bapa masing-masing.

“Ini kerana ia merupakan suatu kesilapan tangkapan dan kecelaruan risikan serta siasatan di pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak awal lagi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Tun Faisal, kerajaan juga mesti mengambil tindakan tatatertib ke atas pegawai polis dan JKM yang telah melakukan kesalahan menangkap dan risikan terhadap 402 kanak-kanak dari 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH.

“Ibu bapa ini dipaksa dan ditipu atau diperdayakan mereka ini untuk menandatangani dokumen yang boleh mengakibatkan mereka didakwa di mahkamah,” katanya.

Selain itu, kerajaan mesti segera membuat semakan kehakiman ke atas perintah lanjutan tahanan anak-anak ini kerana ada kemungkinan permohonan JKM itu dibuat menggunakan maklumat diambil secara menipu, memaksa dan memperdaya ibu bapa anak-anak terbabit.

“Kerajaan mesti segera memaklumkan ibu bapa mengenai keberadaan anak-anak mereka dan membenarkan mereka bertemu anak-anak mereka.

“Kerajaan mesti segera memberi akses kepada media dan GPAAK untuk melihat keadaan ibu bapa dan anak-anak yang masih ditahan di pusat tahanan JKM,” katanya.

Tun Faisal juga mendesak kerajaan meminta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender Parlimen memanggil dan menyiasat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

“Ini kerana mereka telah melanggar Artikel 9 dan 18 Konvensyen Hak Kanak-Kanak dan hak asasi ibu bapa anak-anak yang terlibat.

“Kerajaan mesti menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat pelaksanaan Op Global didakwa celaru, melangkaui skop dan melanggar undang-undang, hak asasi manusia, Artikel 9 dan 18 Konvensyen Hak Kanak-Kanak,” katanya.

Di samping, Tun Faisal turut menuntut kerajaan menyiasat latar belakang dan kredibiliti pemberi maklumat kepada polis iaitu Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) dan wanita yang dikatakan bekas ahli GISBH yang telah membuat pendedahan.

“Sampai ke hari ini kita pun tak tahu siapa sebenarnya PUKAS dan wanita ini, adakah mereka ini benar-benar bekas ahli GISBH atau sebaliknya,” katanya.

Tun Fasial turut mendesak Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menghentikan kenyataan-kenyataan berkaitan GISBH yang tidak bersandarkan fakta, mengarut, menambah fitnah dan memalukan mereka.

“Di atas kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan secara tidak bertanggungjawab oleh beberapa pihak mengenai GISBH sehingga mengakibatkan ibu bapa dan anak-anak ini ditahan mengalami penderitaan, trauma, gangguan psikologi serta kemurungan.

“GPAAK menuntut Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Mufti Perlis meletakkan jawatan.

Katanya lagi, GPAAK menuntut agar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri bertanggungjawab dan juga wajar meletakkan jawatan.

“Ia bagi kesalahan kerana menangkap, menahan, memisahkan anak-anak daripada ibu bapa mereka, memaksa perakuan palsu, melanggar Artikel 9 dan 18 Konvensyen Hak Kanak-Kanak.

“GPAAK turut berasa marah dan kesal terhadap SUHAKAM, Majlis Peguam dan Persatuan Peguam Muslim yang gagal menghalang kerajaan daripada mencabul hak asasi ibu bapa dan kanak-kanak terbabit.

“Malah mereka gagal bertindak pantas untuk melindungi mereka daripada sebarang bentuk kezaliman, salah guna kuasa dan penindasan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo